Suara rakyat penting - Utusan Malaysia

Suara rakyat penting

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU LANGAT 18 Feb – Calon Barisan Nasional (BN), Zakaria Hanafi me­nyi­fatkan suara rakyat adalah lebih penting daripada apa yang ingin beliau perkatakan sepanjang tempoh kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih.

Jelas Zakaria, peluang tempoh berkempen akan diambil untuk bertemu lebih ramai penduduk di Semenyih bagi mengetahui apa yang ingin disuarakan mereka.

“Buat masa ini kita nak berjumpa rakyat, pengundi. Bukan suara saya yang penting, saya cakap nanti tiada bukti, tiada guna juga.

“Baik orang ramai yang menentukannya, baik kita hati ke hati dengan pengundi. Saya mewakili BN, biarlah jadi referendum suara rakyat kepada pemerintah,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas melawat Bilik Gerakan BN di Taman Sri Haneco di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai jemputan daripada pihak Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) berkenaan program debat yang melibatkan keempat-empat calon bertan­ding pada PRK Semenyih.

Sebelum ini, calon Parti Sosialis Malaysia (PSM), Nik Aziz Afiq Abdul mengesahkan bersetuju untuk menyertai debat dianjurkan Bersih itu yang dijadual berlangsung di kampus Universiti Nottingham Malaysia di sini, pada 25 Februari nanti.

“Ada terima (jemputan), tapi saya rasa tak perlu cakap ba­nyaklah. Tunggulah 2 Mac nanti,” katanya.

Sementara itu, Zakaria berkata, memasuki hari ketiga berkempen maklum balas yang diterima beliau daripada penduduk yang telah ditemui amat menggalakkan.

“Hari ini hari ketiga, daripada segi menyatakan sokongan nampaknya mereka berbesar hati bila saya datang, gembira bila nampak calon. Apa yang lebih penting nanti boleh beroleh kejayaan, tapi kena kerja kuat dan saya akan terus bawa isu-isu tempatan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN