PUTRAJAYA 19 Feb.- Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad mahu semua pihak termasuk pemimpin parti politik mematuhi undang-undang mengenai larangan merokok di premis makanan yang telah dikuatkuasakan di negara ini.
Menurut Dzulkefly, mengikut prinsip, apabila undang-undang larangan merokok di premis makanan dikuatkuasakan di negara ini ianya terpakai kepada semua tanpa sebarang pengecualian atau ‘memilih bulu’ dan undang-undang itu perlu dihormati.
“Dalam hal ini, tidak kira siapa, pemimpinan politik tertinggi mahupun rakyat jelata. Semua perlu mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan,” katanya ketika ditemui pemberita ketika menghadiri Sambutan Tahun Baharu Cina peringkat kementerian di sini hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai gambar Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Muhammad Zahid Md. Arip yang sedang menghisap rokok di sebuah premis makanan tular di laman sosial sejak malam tadi.
Gambar yang dipercayai di rakam di Putrajaya itu mendapat kecaman daripada netizen kerana sebagai pemimpin kerajaan, Muhammad Zahid sepatutnya memberikan contoh yang baik dan bukannya menjadi contoh yang buruk untuk dijadikan ikutan.-UTUSAN ONLINE










