Shahril Sufian persoal skim mySalam  - Utusan Malaysia

Shahril Sufian persoal skim mySalam 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 27 Feb. – Skim Perlindungan Nasional B40 (mySalam) yang dicarum oleh syarikat Singapura, Great Eastern Life Insurance terus dipersoal kerana mendapat layanan quid-pro-quo (aturan timbal balas) yang memberi pelepasan kepada syarikat itu untuk tidak mematuhi peraturan 30 peratus pemilikan tempatan yang ditetapkan oleh Bank Negara. 

Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Shahril Sufian Hamdan malah memberitahu, apabila beliau menyemak laman web mySalam dimuat naik semalam mendapati banyak persoalan timbul berkaitan dana diperuntukkan serta jumlah penerima yang mendapat manfaat berkenaan. 

Beliau merujuk kenyataan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang mengatakan bahawa RM2 bilion dijangka mencukupi bagi tempoh lima tahun iaitu bersamaan RM400 juta yang akan disalurkan kepada 3.7 juta penerima Bantuan Sara Hidup B40. 

“Kalau RM400 juta setahun, maka akan hanya cukup untuk 50 ribu orang. Ini belum termasuk bayaran sara hidup maksimum RM700 setahun jika pesakit masuk ke hospital, bermakna sebenarnya tidak sampai pun 50 ribu orang setahun. Andai kata setahun lebih 50 ribu orang disahkan mengidap penyakit kritikal, daripada manakah kerajaan akan mendapatkan dana bagi menampung keperluan ini?

“Itu kalau lebih. Kalau kurang 50 ribu setahun atau selepas lima tahun Great Eastern membelanjakan kurang daripada RM2 bilion, adakah baki tersebut akan masuk ke dalam mana-mana kantung kerajaan? Kalau tak masuk, bermakna syarikat insurans itu akan untung besar daripada polisi quid-pro-quo ini kerana tidak perlu mematuhi peraturan 30 peratus pemilikan tempatan tersebut,” soalnya seperti dipetik dalam laman Facebook rasminya di sini hari ini. 

Mengulas lanjut, Shahril Sufian mempersoalkan sama ada skim itu mampu mencapai objektifnya atau hanya sebagai kosmetik dengan meletakkan syarat yang mengarut. 

“Had umur kelayakan permohonan adalah bermula daripada umur 18 hingga 55 tahun. Walaupun penyakit boleh datang pada bila-bila masa, namun penyakit kritikal ini lazimnya akan mula menyerang apabila lanjut usia. 

“Lebih menimbulkan kemusykilan apabila Guan Eng juga mengumumkan bahawa skim ini hanya layak bagi mereka yang disahkan menghidap penyakit kritikal bermula 1 Januari tahun ini. Jadi mereka yang dapat diagnosis pada tahun lalu atau sebelumnya tak layak mendapat apa-apa? Atau adakah ini pun satu cara untuk pastikan Great Eastern tidak belanja lebih dari RM400 juta setahun?,” soalnya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN