KANGAR 28 Feb. – Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin mengingatkan semua pihak agar berhati-hati dalam menuduh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam soal integriti iaitu didakwa menerima duit UMNO.

Katanya, melalui pengalaman beliau yang pernah melawat Abdul Hadi di kediamannya satu ketika dahulu mendapati hidup pemimpin Pas itu sederhana dan ada nilai zuhud dalam kehidupannya.
“Ramai orang mengaitkan Presiden Pas dengan soal integriti mengambil wang daripada pihak lain. Saya secara peribadi tidak tahu menahu hal itu, apa sahaja mungkin berlaku dalam dunia ini.
“Cumanya, sekali pun ada sisi politik yang saya mungkin ada sedikit pandangan yang berbeza (dengan Abdul Hadi) namun dalam pengalaman saya pernah ke rumah beliau suatu masa dahulu, beliau hidup dalam keadaan yang sangat sederhana. Saya nampak ada padanya nilai zuhud dalam kehidupan.
“Saya rasa elok semua pihak berhati-hati dalam menuduh hal yang seperti itu. Kita menghukum yang zahir, Allah mengetahui hakikatnya,” katanya dalam status Facebooknya di sini, hari ini.
Sebelum ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah mengesahkan bahawa tiada wang RM90 juta dimasukkan ke dalam akaun Pas.
Isu tersebut berbangkit apabila, Editor portal Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown dalam artikel yang diterbitkan portal Sarawak Report sebelum ini mendakwa pimpinan tertinggi Pas mungkin menerima RM90 juta daripada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mendorong bekerjasama dengan UMNO dan Barisan Nasional (BN).
Biarpun SPRM sudah mengesahkan Pas tidak menerima duit tersebut namun masih ramai pihak dilihat terus melemparkan serangan terhadap Pas khususnya Abdul Hadi.- UTUSAN ONLINE










