RM2.8 juta bantu 39 usahawan SPED - Utusan Malaysia

RM2.8 juta bantu 39 usahawan SPED

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA – Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) memperuntukkan sebanyak RM2.8 juta pada tahun ini bagi membantu 39 usahawan bumiputera luar bandar menerusi pembiayaan Skim Pembiayaan Ekonomi Desa (SPED).

Menterinya, Datuk Seri Rina Harun berkata, pembiayaan itu dapat memberi peluang kepada usahawan terpilih yang menghadapi kekurangan modal untuk memaju dan mengembangkan perniagaan mereka.

Jelasnya, kementerian mengenal pasti sebanyak 12 kelas perniagaan yang dijalankan oleh usahwan terutamanya bidang perkhidmatan sebelum meluluskan pembiayaan kepada mereka.

“Dari aspek permohonan SPED, kita bekerjasama dengan SME Bank dan Bank Rakyat untuk membantu pembiayaan usahawan yang terlibat.

“Kita menetapkan perniagaan mereka mesti melebihi tempoh setahun untuk menerima pembiayaan ini. Tidak hanya tertumpu kepada perniagaan baharu, mereka yang menjalankan perniagaan sedia ada juga akan dibantu ke peringkat yang lebih tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Penyerahan Cek SPED Sempena Perhimpunan Bulanan Kementerian Pembangunan Luar Bandar di sini hari ini.

Hadir sama, Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, R. Sivarasa dan Ketua Setiausaha KPLB, Datuk Dr. Ahmad Jailani Muhamed Yunus.

Mengulas lanjut, menurut Rina, usahawan yang menerima pinjaman SPED perlu membayar pembiayaan tersebut dalam tempoh lima tahun.

“Sekiranya usahawan yang menerima pembiayaan ini melakukan pembayaran secara konsisten, mereka akan menerima rebat sebanyak 30 peratus potongan daripada keseluruhan pinjaman.

“Sebagai contoh, sekiranya mereka menerima SPED sebanyak RM100,000 dan mendapat potongan sebanyak RM30,000. Ia sekali gus dapat membantu usahawan sekiranya terus komited untuk melunaskan pembiayaan mereka,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN