KUALA LUMPUR 27 Feb. – Orang ramai boleh mula mengumpul minyak masak terpakai untuk dijual semula sekaligus menjadikan bahan itu sebagai penjana pendapatan sampingan.
Pengurus Operasi, Syarikat Pembinaan Sri Gunung, Zainal Abidin Elias berkata, pihaknya menawarkan harga belian minyak masak terpakai pada harga RM1 sekilogram.
“Orang ramai khususnya pengusaha kedai makan, suri rumah atau siapa sahaja boleh menghubungi kami di talian 019-225 1515 untuk menjual minyak masak terpakai,” katanya.
Ujar beliau, inisiatif pihaknya itu bertujuan memberi kesedaran kepada orang ramai bahawa minyak masak terpakai boleh dikitar semula untuk dijadikan biodesel, lilin dan bahan pencuci.
“Minyak masak yang telah digunakan jangan terus dibuang ke sinki atau longkang kerana ia akan menyebabkan saluran tersumbat malah boleh menjejaskan kualiti air,” katanya.
Zainal Abidin ditemui selepas menyampaikan taklimat Pengumpulan Minyak Masak Terpakai dalam Kursus Alam Sekitar Siri Ke-3 anjuran Bahagian Alam Sekitar, Jabatan Kesihatan, Alam Sekitar dan Penaja, Majis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) hari ini.
Program tersebut dihadiri oleh 150 peserta terdiri daripada Badan Pengurusan Bersama (JMB), Badan Pengurusan (MC), Jawatankuasa Penduduk (JKP) dan Kawasan Rukun Tetangga (KRT).
Katanya, syarikat Pembinaan Sri Gunung yang terletak di Taman Prima Selayang, Batu Caves, Selangor merupakan satu-satunya syarikat di Malaysia yang mempunyai Loji Rawatan Sisa Berminyak.
Sementara itu, wakil JMB Pangsapuri Sri Mayang, Pandan Indah, Ampang, Mardiana Ahmad, 39, berkata, dia tidak sabar untuk berkongsi maklumat mengenai pengumpulan minyak masak bersama penduduk.
“Banyak faedah yang saya perolehi daripada kursus ini. Saya terus rasa bersemangat kerana sebelum ini tidak banyak maklumat mengenai kitar semula minyak masak dihebahkan.
“Sekurang-kurangnya pengumpulan minyak masak terpakai dapat menyumbang dana untuk memperindahkan kawasan persekitaran pangsapuri,” katanya.
Wakil JMB Taman Dagang Fasa 2A, Nik Abdul Aziz Nik Mahmud, 74, berkata kursus itu membantu memberi kesedaran kepada JMB untuk mula melaksanakan pengumpulan minyak masak terpakai. – UTUSAN ONLINE











