Ringgit susut RM4.18 akhir 2019 - Utusan Malaysia

Ringgit susut RM4.18 akhir 2019

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 13 Feb. – Mata wang tempatan dijangka berlegar antara RM4.05 dan RM4.10 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dalam tempoh terdekat sebelum bergerak ke paras lebih rendah pada RM4.15 dan RM4.18 menjelang perte­ngahan dan akhir 2019.

Pakar Ekonomi Kanan United Overseas Bank Malaysia (UOB Malaysia), Julia Goh berkata, ketidaktentuan itu disebabkan kenaikan kadar faedah Rizab Persekutuan AS, kemungkinan pada Jun dan Disember ini.

Katanya, bagaimanapun, dalam tempoh jangka pendek, ringgit akan disokong oleh pemacu pertumbuhan domestik yang stabil, pembaharuan dasar secara berperingkat dan lebihan akaun semasa yang kukuh.

“Ringgit kekal di bawah nilai berbanding mata wang serantau dan aset dalam denominasi ringgit mungkin menawarkan jaminan selamat ketika pilihan raya di beberapa negara serantau pada separuh pertama 2019.

“Namun, ketidaktentuan mung­kin berterusan didorong laporan dan acara semasa dalam keadaan pertumbuhan dan permintaan global yang lembab,” katanya dalam nota penyelidikan di sini hari ini.

Ringgit memulakan daga­ngan pada Isnin dengan prestasi yang lemah apabila ditutup pada paras RM4.0700 memandang­kan perang dagangan antara AS dan China yang mungkin berlaku semula telah mengalihkan minat pelabur kepada mata wang negara maju itu. Jumaat lalu, ringgit ditutup pada paras tujuh bulan tertinggi sejak 20 Julai 2018, iaitu RM4.0670 berbanding dolar AS.

Petang ini, mata wang itu ditutup pada RM4.0660 berban­ding dolar AS. Bagi prestasi bursa tempatan pula, susut 2.11 mata ke paras 1,685.30 mata.

Bagi firma penyelidikan RHB Research, ia mempunyai pandangan berbeza dengan menjangkakan ringgit naik secara beransur-ansur dan sekali lagi melepasi paras psikologi RM4 berbanding dolar AS, sebelum meneruskan aliran meningkat kepada RM3.80 menjelang akhir 2019,

Jelasnya, peningkatan rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia (BNM) dan langkah Rizab Persekutuan AS untuk tidak menaikkan kadar faedahnya memberi sokongan kepada mata wang tempatan.

“Ringgit dijangka meneruskan aliran meningkat kepada RM3.80 berbanding dolar AS menjelang akhir 2019, juga dise­babkan kelemahan dolar berikutan Rizab Persekutuan AS dijangka menangguhkan langkah menaikkan kadarnya susulan wujud tanda-tanda pertumbuhan ekonomi AS akan lebih perlahan,” katanya.

Sementara itu, AmBank Research menjangkakan cabaran lebih besar menanti 2019 de­ngan mengambil kira faktor lua­ran yang berterusan ditambah dengan isu domestik.

“Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun ini diunjur berkembang pada 4.5 peratus didorong oleh permintaan dalam negeri dan dilengkapi dengan eksport.

“Ditambah dengan unjuran ringgit lebih kukuh bagi 2019, ia bakal membuka pintu bagi pengurangan kadar dasar semalaman (OPR) daripada paras semasa 3.25 peratus,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN