Pembesar memerintah Negeri Sembilan berdepan prosiding hina mahkamah

Pembesar memerintah Negeri Sembilan berdepan prosiding hina mahkamah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Mahkamah Tinggi Seremban membenarkan permohonan dua defendan dalam kes saman pemula oleh para pembesar memerintah Negeri Sembilan untuk memulakan prosiding hina mahkamah terhadap para pembesar berkenaan berhubung injunksi interim dalam kes berkenaan.

Hakim Roz Mawar Rozain membuat keputusan itu selepas defendan pertama, Setiausaha Dewan Keadilan dan Undang (DKU) Negeri Sembilan, Raja Norazli Raja Nordin dan defendan kedua, DKU telah berjaya mewujudkan kes prima facie untuk kebenaran memulakan prosiding komital untuk penghinaan mahkamah terhadap para plaintiff.

Plaintiff kes tersebut terdiri daripada Datuk Mubarak Thahak yang didakwa sudah dipecat sebagai Undang Luak Sungai Ujong; Undang Luak Je­lebu, Datuk Maarof Mat Rashad; Undang Luak Johol, Datuk Muhammed Abdullah dan Undang Luak Rembau, Abdul Rahim Yasin.

Turut dinamakan sebagai plaintiff ialah Tunku Besar Tampin, Tunku Syed Razman Syed Idrus Al-Qadri dan Datuk Shahbandar Sungei Ujong, Datuk Seri Badarudin Abdul Khalid.

Sementara itu, kerajaan negeri adalah defendan ketiga dalam saman pemula itu yang mula didengar pada 14 Mei lalu.

Pada 5 Jun lalu, dua defendan tersebut telah memperoleh perintah sementara daripada mahkamah terhadap para plaintiff kes berkenaan.

Injuksi interim itu antara lain menyatakan status quo DKU kekal sebagaimana keadaan sebelum 21 Mei lalu sehingga isu bidang kuasa dan kebolehhakiman diputuskan oleh mahkamah.

Perintah itu turut melarang sebarang keputusan atau tindakan berkaitan pentadbiran DKU termasuk pelantikan serta sebarang bentuk campur tangan dalam urusan badan berkenaan.

Ia juga merangkumi sekatan terhadap usaha menubuhkan mana-mana jawatankuasa atau pihak lain bagi mengambil alih fungsi Setiausaha DKU.

Selain itu, para plaintif turut dihalang daripada mengadakan sebarang mesyuarat DKU termasuk Sidang Khas DKU.

Mereka juga tidak dibenarkan mengambil sebarang langkah yang boleh mengubah atau mengganggu perjalanan DKU serta mengeluarkan sebarang kenyataan media berkaitan badan berkenaan.

Mahkamah Tinggi Seremban telah mendengar permohonan defendan untuk penghinaan mahkamah itu secara Zoom sejak semalam dan baru sahaja menyampaikan penghakimannya petang ini.

Mahkamah telah menolak permohonan plaintif untuk penangguhan prosiding pengkomitan kerana penghinaan mahkamah dan menetapkan 28 Julai ini untuk mendengar kes tersebut.

Para plaintif diwakili peguam Tuan Awang Armadajaya Awang Mahmud, Datuk Mohammed Rhiza Ghazi, Datuk Firoz Hussein, Woo J. Enn, Asmawi Ismail dan Emirul Sarifudin.

Manakala defendan pertama dan kedua diwakili peguam Steven Thiru, Shafrin Halim dan Gurjeevan Singh. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN