Malaysia henti serta-merta sebarang perolehan pertahanan baharu Norway

Malaysia henti serta-merta sebarang perolehan pertahanan baharu Norway

KAPAL Tempur Pesisir (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia menghentikan sebarang perolehan peralatan atau kelengkapan pertahanan baharu dari Norway, dengan serta-merta.

 Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini.

 Katanya, Jemaah Menteri meneliti isu terkini tindakan Kerajaan Norway membatalkan lesen eksport peluru berpandu yang sepatutnya dilengkapkan pada kapal Littoral Combat Ship (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

 “Jemaah Menteri telah memutuskan supaya Kementerian Pertahanan menghentikan serta-merta sebarang perolehan peralatan atau kelengkapan pertahanan baharu dari Norway,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 Kelmarin, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, tindakan Norway membatalkan kontrak perolehan peluru berpandu anti kapal (NSM) kepada Malaysia telah mencemarkan prinsip perjanjian, komitmen serta kepercayaan dalam hubungan antarabangsa. 

 Katanya, Malaysia telah memenuhi semua obligasi pembayaran mengikut syarat kontrak dan bertindak secara telus berlandaskan kepercayaan terhadap rakan strategik.

 Mohamed Khaled berkata, isu itu bukan saja menyentuh kontrak pertahanan bernilai besar tetapi membabitkan kepentingan strategik negara, penggunaan wang rakyat dan kesiagaan pertahanan kedaulatan tanah air.

 Katanya, proses perolehan bermula dengan penilaian teknikal oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sejak 2011 dan dimeterai pada 2018 bagi melengkapkan keupayaan “Surface to Surface Missiles’ (SSM)’ untuk Kapal Tempur Pesisir (LCS) dengan nilai kontrak berjumlah 128.7 juta Euro.

 Satu lagi kontrak perolehan dua set pelancar SSM pada 2023 dengan nilai kontrak berjumlah 1.19 juta Euro. Ia menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 137.91 juta Euro dianggarkan bersamaan dengan RM642.6 juta.

 Sepanjang tempoh pelaksanaan, kerajaan Malaysia sudah memenuhi segala obligasi pembayaran kepada KDA mengikut jadual yang dipersetujui.

 Katanya, pembayaran yang sudah dibuat kerajaan sudah mencecah 129.8 juta Euro yang bersamaan dengan RM600 juta atau 95 peratus daripada keseluruhan nilai kontrak.

 Penghantaran dijadualkan tiba pada Mac lalu, namun pada 4 Februari lalu, KDA memaklumkan bahawa Kerajaan Norway menggantung lesen eksport bagi kedua-dua kontrak berkenaan kepada Malaysia tanpa menjelaskan punca penggantungan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN