KUALA TERENGGANU 16 Feb. – Lebih 500 usahawan dari negeri ini dan Kelantan menyertai Konvensyen Memperkasakan Usahawan Bumiputera (KUB) dan program Satu Daerah Satu Industri (SDSI) Zon Timur di Pusat Dagangan Terengganu (TTC) di sini hari ini.
Majlis perasmian dua program berkenaan disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd. Redzuan Yusof pagi ini.
KUB kali ini merupakan yang ke 11 selepas diadakan di lain-lain negeri bermula di Kuching, Sarawak pada 6 September tahun lalu hingga ke Pahang, 14 Februari lalu.
Ia juga merupakan hasil resolusi Kongres Masa Depan Bumiputera dan Negara 2018 yang dilangsungkan di Kuala Lumpur pada 1 September tahun lalu.
Program KUB diadakan sebagai inisiatif serta komitmen Kementerian Pembangunan Usahawan bagi mendapatkan idea, pandangan dan maklumat berkaitan pelbagai isu selain cadangan penambahbaikan dalam memperkasa sektor usahawan tempatan.
Manakala program SDSI pula menampilkan pelbagai pameran yang mengumpulkan beraneka produk serta perkhidmatan SDSI berkualiti dari negeri-negeri Pantai Timur khususnya Terengganu. – UTUSAN ONLINE











