HULU LANGAT 16 Feb.- Pusat Penamaan Calon di Dewan Seri Cempaka, Majlis Perbandaran Kajang, Saujana Impian di sini muda dipenuhi penyokong-penyokong bertanding Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih sejak pukul 8 pagi tadi.
Penyokong-penyokong Barisan Nasional (BN) dilihat berkumpul di tempat letak kenderaan zon A berhampiran pusat penamaan tersebut.
Turut kelihatan, Timbalan Pengerusi BN yang juga merupakan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan; Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Datuk Seri Mahdzir Khalid.
Hadir sama, Naib Presiden Pas, Idris Ahmad dan Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan.
BN bakal mencalonkan Pengerusi Tetap UMNO Cawangan Kampung Sesapan Kelubi, Beranang, Zakaria Hanafi, 58.
PRK Semenyih diadakan selepas wakil rakyatnya, Bakhtiar Mohd Nor, 57, meninggal dunia akibat serangan jantung pada 11 Januari lalu. – UTUSAN ONLINE










