Polis siasat wanita dipaksa mengundi parti tertentu - Utusan Malaysia

Polis siasat wanita dipaksa mengundi parti tertentu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU LANGAT 28 Feb. – Polis sedang menjalankan siasatan melibatkan kes seorang wanita berumur dalam lingkungan 40-an yang mendakwa dipaksa mengundi parti tertentu dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, Sabtu ini. 

Jurucakap PRK Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, Superintenden Mohd. Sabri Abdullah memberitahu, kes itu merupakan satu daripada tiga kertas siasatan baharu yang dibuka pihak polis menjadikan keseluruhannya 11 kertas siasatan sepanjang tempoh kempen sejak 16 Februari lalu sehingga hari ini. 

Jelas Mohd. Sabri, pihak polis sedang menyiasat dakwaan itu di bawah Seksyen 9 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 kerana melakukan pengaruh tidak wajar. 

“Dalam laporan polis, wanita yang juga pengusaha sebuah kedai dobi itu merasakan keselamatan diri dan ahli keluarga terancam kerana mendakwa terdapat unsur-unsur paksaan mengundi dalam PRK DUN Semenyih ini. 

“Dia juga menyatakan ingin membuat pinjaman menerusi sebuah agensi kerajaan dan dalam proses kelulusan, namun kakitangan kerajaan yang mengendali perkara itu didakwa menetapkan syarat tertentu. Polis masih menjalankan siasatan lanjut,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN