KUALA LUMPUR 28 Feb. – Polis melepaskan dua das tembakan dalam usaha memberhentikan sebuah kenderaan yang dinaiki dua lelaki dari terus melanggar anggota pasukan polis peronda (MPV) dan kenderaan MPV polis semasa cuba meloloskan diri di Jalan Gombak semalam.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, ketika kejadian pada pukul 5.15 petang, anggota MPV dari Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju terlihat kelibat dua suspek mencurigakan menaiki sebuah kereta.
“Anggota MPV itu sedang melakukan rondaan Op Rentap Khas sebaik tiba di lampu isyarat Jalan Gombak anggota cuba melakukan pemeriksaan ke atas suspek.
“Sebaik anggota MPV mengarahkan mereka berhenti maka drama kejar-mengejar bermula. Suspek dipercayai terus menghimpit dan melanggar MPV polis di bahagian hadapan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mazlan memberitahu, Semasa kejar-mengejar suspek telah melanggar penunggang motosikal dan lima buah kenderaan lain.
“Suspek bertindak memandu melawan arus di Jalan Gombak lalu masuk ke Kampung Lee Kong Cheng dan polis berusaha menahan suspek sehingga terpaksa melepaskan tembakan amaran ke udara dan tayar kereta suspek,” ujarnya.
Justeru usaha yang dilakukan anggota polis berhasil bagi menahan dua lelaki berumur antara 33 sehingga 37 tahun serta didakwa mempunyai senarai rekod ‘wanted’ atau dikehendaki polis berhubung kes dadah.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan iaitu cubaan membunuh dan menghalang tugasan penjawat awam,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE










