Polis kesan saksi kemalangan dua remaja 15 tahun - Utusan Malaysia

Polis kesan saksi kemalangan dua remaja 15 tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG – Pihak polis sedang mencari saksi bagi satu kejadian kemalangan motosikal melibatkan dua remaja lelaki berusia 15 tahun di hadapan sebuah bank di Jalan Meru di sini, Ahad lalu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5 petang itu, Norsyaifulizam Awalluddin, 15, yang merupakan pembonceng motosikal disahkan meninggal dunia pada pukul 5 pagi tadi, 36 jam selepas menerima rawatan di Hospital Sungai Buloh.

Sementara itu, rakan mangsa, yang juga penunggang motosikal, Mohd. Aiman Syabil Razali, 15, hanya mengalami kecederaan pada bahagian kaki.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd. Salleh berkata, siasatan awal pihaknya mendapati kejadian tersebut berlaku ketika kedua-dua mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha Lagenda dalam perjalanan dari Jalan Meru Tambahan menghala ke Pekan Meru.

Beliau berkata, setibanya di lokasi kejadian, sebuah kereta jenis Toyota Vois telah mengundur untuk keluar daripada petak letak kereta sebelum dilanggar motosikal dinaiki kedua-dua remaja berkenaan.

“Motosikal mangsa gagal mengelak kereta tersebut yang telah cuai keluar dari petak letak kereta itu. Akibat pelanggaran itu, pembonceng motosikal telah mengalami cedera parah sebelum dikejarkan ke Hospital Shah Alam.

“Bagaimanapun, mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan lanjut dan disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 5 pagi tadi,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Justeru katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian tersebut diminta untuk menghubungi pegawai penyiasat kes berkenaan, Inspektor Zulkarnain Johari di talian 019-5597 107 atau balai polis berhampiran.

Kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN