ALOR GAJAH – Seorang duda dan janda dicekup pihak polis selepas dipercayai terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Ramuan China Kechil di sini semalam.
Kedua-dua suspek yang berusia 53 dan 34 tahun itu ditahan sepasukan anggota dan pegawai Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri pada pukul 12 tengah malam.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan A. Asmadi Abdul Aziz berkata, hasil pemeriksaan di kediaman tersebut polis menjumpai satu peket lutsinar mengandungi dadah jenis heroin seberat 392 gram.
“Hasil maklumat awam, satu serbuan telah dilakukan oleh sepasukan anggota JSJN di sebuah rumah dan pemeriksaan menjumpai sepeket dadah heroin dengan nilai pasaran RM5,500.
“Kita turut menahan seorang duda dan janda yang dipercayai aktif melakukan aktiviti pengedaran dadah di kawasan tersebut sejak Oktober lalu,” katanya pada sidang akhbar di IPD Alor Gajah di sini hari ini.
Mengulas lanjut, A. Asmadi berkata, siasatan lanjut mendapati duda dan janda tersebut masing-masing mempunyai lima serta tiga orang anak yang ditinggalkan di tempat lain.
Jelasnya, ujian air kencing terhadap kedua-dua suspek juga mendapati positif dadah jenis Methamphetamine.
“Kedua-dua mereka juga memiliki rekod jenayah membabitkan kesalahan dadah sejak 10 tahun lalu,” katanya.
Katanya, suspek kini direman selama tujuh hari sehingga 4 Mac depan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – K! ONLINE










