KUALA LUMPUR 27 Feb. – Sedikit perkhabaran gembira buat pemain Perlis Northern Lions II yang mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA), Datuk Ahmad Amizal Shaifit Ahmad Rafie, mereka boleh mendapatkan khidmat guaman daripada Persatuan Pemain Bola Sepak Malaysia (PFAM).
Semalam, tujuh pemain Perlis Northern Lions II buntu apabila diberitahu mereka perlu mendapatkan peguam untuk mencari penyelesaian terhadap dakwaan ditipu Ahmad Amizal selepas polis mengklasifikasikan kes melibatkan tersebut sebagai sivil dan bukan jenayah.
Ketua Pegawai Eksekutif PFAM, Izham Ismail berkata, mereka memang menyediakan khidmat guaman kepada mana-mana pemain yang mempunyai masalah dengan majikan dan dalam kes Perlis, kedua-dua pihak masih berusaha mencari jalan penyelesaian terbaik sebelum memanjangkan masalah ke peringkat perundangan.
“Ya kita ada peguam, dan bagi kes pemain Perlis, kita masih dalam perbincangan dengan pemain. Segala maklumat lanjut akan dimaklumkan kemudian.
“Kita di PFAM akan cuba memberi bantuan sebaik mungkin kepada pemain Perlis bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi mereka,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.











