PERSATUAN Bola Sepak Perlis (PFA) menghantar dokumen sokongan kepada Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) bagi melengkapkan proses rayu;an dalam misi meraih ‘talian hayat’ untuk kekal beraksi pada Liga Premier musim 2019.
Delegasi PFA yang diketuai Timbalan Presidennya, Mohd. Abdul Karim Khan Mansor Ahmad Khan menyerahkan beberapa dokumen ‘hitam putih’ melibatkan surat tajaan serta laporan kewangan bagi mengharungi saingan Liga Malaysia tahun ini.
Abdul Karim berkata, beliau berharap dokumen berkenaan dapat meyakinkan Ahli Lembaga Pengarah MFL dalam membuat pertimbangan mengenai rayuan wakil Singa Utara sama ada boleh kembali bermain pada Liga Premier atau sebaliknya.
“Kita tunaikan janji kepada MFL untuk menyerahkan dokumen berkaitan sepanjang tempoh rayuan ditetapkan yang berakhir hari ini (semalam).
“Antara dokumen tersebut adalah berkaitan tajaan, kewangan dan perancangan kita berserta surat sokongan untuk dibawa kepada Ahli Lembaga Pengarah MFL bagi pertimbangan rayuan agar kita bermain semula pada Liga Premier musim 2019,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Sebagai rekod, penyertaan Perlis pada saingan Liga Premier dibatalkan selepas mendapati skuad Singa Utara tidak memiliki kewangan kukuh untuk mengharungi musim ini selain berdepan masalah tunggakan gaji pemain.
Mengulas lanjut, Abdul Karim mengakui tunggakan gaji pemain musim 2018 dan 2019 boleh dilangsaikan menerusi pengurusan dan penajaan baharu yang bakal diterima PFA sekiranya dibenarkan kembali menyertai Liga Premier semula.
“Kita telah mencapai kata sepakat dengan penaja bahawa segala tuntutan gaji pemain akan diselesaikan secepat mungkin sekiranya Perlis kembali beraksi pada saingan Liga Premier.
“Sekiranya keputusan membatalkan penyertaan Perlis kekal, PFA akan berbincang semula dengan MFL memandangkan kita ada peluang mendapat geran tahunan dan ia akan digunakan untuk menyelesaikan tunggakan gaji,” ujarnya.
Ketua Pegawai Operasi MFL, Mohd. Shazli Shaik Mohd. mengesahkan proses selanjutnya adalah menunggu keputusan rayuan daripada Ahli Lembaga Pengarah MFL sebelum status Perlis pada Liga Premier diketahui dalam masa terdekat.










