KOTA BHARU 20 Feb. – Persekutuan Muaythai Profesional Malaysia (MFMP) mengadakan kunjungan hormat ke atas Konsul Jeneral Thailand Kelantan, Mongkol Simsoboom di sini hari ini.
Pertemuan yang dihadiri oleh Presiden MFMP, Datuk Seri Dr. Mohd. Fared Abdul Ghani itu bertujuan membincangkan hala tuju dan kerjasama dalam memajukan sukan Muaythai di antara kedua buah negara.
Mohd. Fared yang juga promoter sukan tersebut di Thailand ketika ditemui berkata, banyak manfaat bakal diperoleh antara kedua-dua pihak hasil perjumpaan itu.
Katanya, perbincangan tersebut juga ke arah menjadikan sukan Muaythai satu produk sukan untuk perlancongan Malaysia sebagaimana kini telah lama diwujudkan di Thailand.
“Saya akan cuba sedaya upaya bagi membangunkan sukan Muaythai di Malaysia.
“Perbincangan itu juga menitik beratkan setiap peninju yang datang dari Thailand semestinya mempunyai pasport dan kelulusan Pejabat Pesuruhjaya Sukan Malaysia(PJS),” katanya.
Tambahnya, pihak kerajaan Thailand akan memberi kerjasama kepada MFMP bagi memastikan perjalanan peninju yang mewakili kelab negaranya lancar sepanjang menyertai kejohanan di sini pada masa akan datang.
Beliau yang juga Presiden Persatuan Muay Thai dan Sukan M150 memberitahu, pihak kerajaan Thailand menyokong sepenuhnya usaha MFMP bagi meneruskan legasi Muaythai di kedua-dua negara. – UTUSAN ONLINE










