BARCELONA 27 Feb. – Negeri Perlis menawarkan graduan yang berkualiti tinggi, kos rendah melakukan perniagaan, pentadbiran mesra perniagaan, ketersediaan infrastruktur dan utiliti, serta keselamatan aset peribadi yang tinggi.
Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mengenai sebab-sebab mengapa para pelabur tidak harus melepaskan peluang melabur di negeri Perlis ketika berkenan berangkat menerima kunjungan mengadap bekas Konsul Jeneral Kehormat Malaysia di Barcelona, Datuk Manuel A. Condeminas Hughes yang diadakan di Barcelona, Sepanyol petang semalam.
Berangkat sama ialah anakanda kedua baginda, Puteri Sharifah Farah Adriana Jamalullail.
Tambah baginda lagi, lokasi negeri Perlis juga amat strategik kerana ia mempunyai risiko bencana alam yang rendah, akses mudah ke negara-negara ASEAN, terletak di dalam gagasan IMT-GT dan juga termasuk di dalam kawasan NCER.
Tuanku Syed Faizuddin Putra berada di kota raya berkenaan bagi menghadiri ‘Mobile World Congress (MWC) Barcelona 2019’.
Datuk Condeminas, seorang usahawan dalam sektor maritim, perkhidmatan dan logistik baru sahaja mengundurkan diri daripada menjadi Konsul Kehormat Malaysia di Barcelona beberapa tahun yang lalu setelah mula dilantik oleh Kerajaan Malaysia dalam tahun 1981.
Mobile World Congress (MWC) Barcelona 2019’ yang berlangsung di Fira Gran Via dan Fira Montjuïc di Barcelona, Sepanyol.
Ia merupakan perhimpunan peranti mudah alih terbesar di dunia yang membawa bersama inovasi terkini dan teknologi termoden daripada lebih 2,400 syarikat terkemuka yang mempengaruhi industri ini.
Untuk rekod, pihak penganjur iaitu GSM Association (GSMA) menganggarkan lebih daripada 107,000 orang pembuat dasar serta pengunjung bakal hadir ke #MWC19 yang berlangsung dari 25-28 Februari 2019.
Tema yang dipilih pada kali ini ialah ‘Intelligent Connectivity’ yakni istilah yang digunakan untuk menerangkan kombinasi gabungan fleksibel, ‘High Speed 5G networks, ‘The Internet of Things (IoT), ‘Artificial Intelligence (AI)’ dan ‘Big Data’.
Lapan kandungan yang diberi keutamaan pada edisi penganjuran kali ini adalah Kesambungan, ‘AI’, Industri 4.0, ‘Immersive Content’, ‘Disruptive Innovation’, ‘Digital Wellness’, ‘Digital Trust’ dan ‘The Future’. – UTUSAN ONLINE











