MELAKA – Padah berlagak samseng, seorang penggali kubur dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM2,060 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dua pertuduhan menghalang serta mengeluarkan kata-kata kesat terhadap anggota polis trafik pada November tahun lalu.
Tertuduh, Zamin Zakaria, 40, membuat pengakuan itu sebaik sahaja pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di dua mahkamah berasingan di hadapan Majistret Mohd. Firdaus Saleh dan Teoh Shu Yee.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati telah menghalang tugas anggota trafik, Koperal Ishak Deros yang sedang menjalankan tugas rasminya dan mengeluarkan saman terhadap tertuduh.
Tindakan itu dilakukan tertuduh kira-kira pukul 3 petang di Jalan Laksamana di hadapan pejabat Pos daerah Melaka Tengah pada 16 November 2018.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali.
Tertuduh turut didapati bersalah menggunakan perkataan-perkataan kurang sopan dan menghina kepada anggota sama yang boleh memecahkan keamanan pada masa, tempat dan tarikh sama.
Sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM100 mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan kecil 1955 (Akta 336).
Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar hukumannya diringankan dengan alasan hanya bekerja sebagai penggali kubur dan telah meminta maaf secara peribadi dengan anggota polis berkenaan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Intan Lyiana Zainal Abidin dan Puteri Nor Nadia Mohamed Iqbal bagaimanapun memohon hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh.
Mohd. Firdaus kemudian menjatuhkan hukuman penjara sehari dan denda RM2,000 atau dua bulan penjara jika gagal membayar bagi pertuduhan pertama manakala Shu Yee memerintahkan tertuduh membayar denda RM60 bagi pertuduhan kedua atau sebulan penjara jika gagal membayar.
Tertuduh kemudian membayar denda tersebut. – K! ONLINE









