MELAKA 28 Feb. – Seorang pencuci kereta dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memukul isterinya menggunakan topi keledar dan pengunci besi motosikal pada Oktober lalu.
Syed Mohd. Norhasrul Tuan Rosely, 30, mengaku tidak bersalah sebaik sahaja pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Norma Ismail.
Tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera terhadap isterinya, Nurul Sakinah Azalan, 31, dengan cara memukul seluruh badan mangsa dengan menggunakan topi keledar dan pengunci besi motosikal.
Dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Ujong Pasir di sini kira-kira pukul 8.30 pagi pada 9 Oktober tahun lalu.
Tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau dengan sebat atau mana-mana dua daripada seksaan itu mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan.
Difahamkan, tertuduh bertindak memukul isterinya selepas menyangka wanita itu keluar bersama lelaki lain apabila mendapati mangsa tiada di tempat kerjanya di Batu Berendam. Mangsa bagaimanapun mendakwa dia hanya keluar membeli makanan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Intan Lyiana Zainal Abidin mencadangkan jaminan sebanyak RM20,000 dan memohon syarat tambahan dikenakan.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun hanya mendiamkan diri dan tidak membuat sebarang rayuan.
Selepas mendengar rayuan kedua-dua pihak, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM20,000 dan menetap tarikh 22 Mac ini untuk serahan dokumen dan sebutan semula kes. – UTUSAN ONLINE










