SABAK BERNAM – Kebelakangan ini ungkapan Malu Apa Bosku yang dipopularkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi fenomena terutamanya dalam kalangan golongan muda.
Begitu juga bagi anak muda kelahiran Sungai Besar yang hanya mahu dikenali sebagai Kalam Biru tidak mahu ketinggalan dengan menghasilkan lagu ‘Malu apa bossku’ berkonsep rap.
Kalam berkata, dia berhasrat untuk bertemu secara peribadi dengan Najib bagi mengemukakan permohonan maaf kerana pernah membenci dan mengkritik pentadbiran Ahli Parlimen Pekan itu sewaktu memimpin negara.
“Saya rasa kesal kerana lagu-lagu ciptaan sebelum ini mengkritik dasar kerajaan dahulu tanpa menyelidik perkara sebenar,” katanya di sini.
Kalam Biru berkata, idea mengadaptasi ungkapan dipopularkan Najib bagi itu bagi menyampaikan mesej isu semasa yang gagal ditangani kerajaan sekarang.
“Lagu berdurasi satu minit 23 saat yang tular di media sosial itu sebenarnya hanya mengambil masa selama dua jam untuk dihasilkan.
“Bagaimanapun, itu hanya sebahagian daripada lagu asal yang berdurasi kira-kira tiga minit,” ujarnya.
Jelas Kalam, sebahagian lagu itu tidak disiarkan lagi kerana perlu mencipta irama dan penceritaan isu semasa dengan lebih baik serta memberi kesan lebih mendalam kepada pendengar.
“Saya juga berhasrat untuk mencipta sebuah lagu lagi menjelang PRK DUN Semenyih dalam waktu terdekat,” katanya.
Sehingga pukul 3 petang ini, Lagu ‘Malu apa bossku’ mendapat lebih 104,000 kali jumlah tontonan di YouTube. – K! ONLINE










