Pembalakan: Jabatan Hutan Perak nafi ugut Orang Asli - Utusan Malaysia

Pembalakan: Jabatan Hutan Perak nafi ugut Orang Asli

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH 6 Feb. – Jabatan Perhutanan Perak menafikan laporan pihaknya mengugut Orang Asli di Kampung Cunex di Gerik susulan tindakan komuniti itu membina halangan kerana membantah aktiviti pembalakan berhampiran tempat tinggal mereka.

Notis yang diletakkan masyarakat Orang Asli di Kampung Cunex di Gerik yang membantah kerja pembalaka
Notis yang diletakkan masyarakat Orang Asli di Kampung Cunex di Gerik yang membantah kerja pembalakan di penempatan mereka.-Foto FB Peka Perak

Pengarah Perhutanan negeri, Datuk Mohamed Zin Yusop berkata, siasatan mendapati pegawai Jabatan Perhutanan negeri telah bertemu dengan komuniti Orang Asli tersebut baru-baru ini bagi memberi penerangan mengenai akiviti pembalakan di kawasan berdekatan. 

Menurutnya, sepanjang berurusan dengan bantahan oleh komuniti Orang Asli di Perak, pihaknya tidak pernah menggunakan sebarang ugutan atau kekerasan terhadap mana-mana pihak.

“Jabatan Perhutanan sedia memberikan kerjasama untuk membantu siasatan susulan laporan polis yang difailkan oleh wakil komuniti Orang Asli Kampung Tasik Cunex.

“Kawasan pembalakan yang diluluskan adalah kawasan Hutan Simpan Air Chepam dan bukannya terletak dalam kawasan tanah adat seperti yang didakwa oleh komuniti Orang Asli Tasik Cunex,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohamed Zin turut menafikan dakwaan Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka) kononnya aktiviti pembalakan di negeri ini yang tidak terkawal.

Menurutnya, negeri Perak mematuhi Catuan Tebangan Tahunan (CTT) yang ditetapkan oleh Majlis Tanah Negara iaitu seluas 7,744 hektar setahun.

“Kerajaan negeri mengamalkan  pembalakan terpilih atau ‘selective logging’ iaitu hanya pokok-pokok yang menepati piawaian dibenarkan ditebang selepas melalui proses ‘tagging’,” katanya. 

Sebuah portal berita hari ini melaporkan penduduk Orang Asli di Gerik mendakwa kerajaan negeri menceroboh kawasan tanah adat mereka untuk aktiviti pembalakan sejak 18 Januari lalu.

Berang dengan tindakan itu, Orang Asli Kampung Tasik Cunex mengadakan sekatan bagi menghalang aktiviti itu apabila mendakwa kawasan tanah adat dan penempatan mereka diceroboh, termasuk kehilangan sumber hutan.

Kumpulan masyarakat itu membuat sekatan dengan menutup laluan utama lori balak dan penduduk mendakwa turut diugut pihak syarikat dan Jabatan Perhutanan susulan sekatan yang mereka buat. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN