Paras air Empangan Air Itam turun mendadak - Utusan Malaysia

Paras air Empangan Air Itam turun mendadak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN – Cuaca panas yang melanda negeri ini menyebabkan Empangan Air Itam di sini mengalami penurunan kapasiti efektif yang ketara iaitu sebanyak 24.9 peratus sejak awal tahun lalu berbanding semalam.

Ketua Pegawai Eksekutif, Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn. Bhd. (PBAPP), Datuk Ir. Jaseni Maidinsa dalam satu kenyataan hari ini berkata, pihaknya mencatatkan kapasiti efektif empangan itu sebanyak 92.2 peratus pada 1 Januari lalu berbanding hanya 67.3 peratus semalam.

“Taburan hujan yang rendah adalah sebab utama penurunan drastik apabila catatan tolok taburan hujan hanya 94 milimeter dalam tempoh berkenaan.

“Sehubungan itu, PBAPP telah melaksanakan langkah-langkah kawalan bekalan air musim kemarau untuk memastikan bekalan air berterusan sehingga tiba musim hujan,” katanya.

Menurut Jaseni, penggunaan air yang tinggi di kawasan sekitar menjadi sebab sekunder berlakunya penurunan tersebut apabila purata pengambilan harian meningkat 167 peratus pada Januari dan 327 peratus pada bulan ini berbanding tempoh sama tahun lalu (0.15 peratus).

“Adalah jelas, penggunaan air di bandar Air Itam dan kawasan sekitarnya telah meningkat disebabkan keadaan cuaca panas dan kering, ditambah pula dengan sambutan perayaan dalam tempoh berkenaan.
 
“Tahap penggunaan air yang tinggi ini agak gawat, terutama apabila simpanan air mentah di empangan itu mengalami penurunan yang ketara,” katanya.

Dalam pada itu, Jasni berkata, Empangan Teluk Bahang di Balik Pulau dekat sini bagaimanapun mencatatkan kapasiti efektif 79.1 peratus semalam berbanding 78.8 peratus pada 1 Januari lalu iaitu peningkatan 0.3 peratus. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN