Nor Saiful enggan kibar bendera putih - Utusan Malaysia

Nor Saiful enggan kibar bendera putih

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 27 Feb. – Pengendali pasukan Tenaga Nasional Berhad (TNB), Nor Saiful Zaini Nasiruddin enggan mengibar bendera putih meskipun berdepan tugas getir berdepan Terengganu Hockey Team (THT) pada aksi kedua separuh akhir Piala TNB 2019, esok.

TNB yang muncul naib juara Divisyen Premier Liga Hoki Malaysia (LHM) 2019 yang berakhir minggu lepas mensia-siakan lebih 10 peluang terbaik menjaringkan gol ketika berdepan THT dalam aksi pertama di Stadium Tun Razak semalam, sebelum perlawanan berakhir dengan keputusan 3-1 berpihak kepada THT.

Nor Saiful berkata tugas utama pasukannya esok adalah memburu gol dan barisan pemainnya perlu bangkit melupakan episod suram pertembungan pertama dengan tampil lebih berdisiplin terutama ketika menyerang.

“Kita bermain dengan bagus…pemain mengejar bola dan menutup peluang dengan kemas cuma kita tidak menjaringkan gol. Itu adalah satu kesilapan dan kegagalan kita semalam adalah disebabkan tidak memanfaatkan peluang terhidang.

“Kita perlu keluar bermain dengan semangat yang tinggi dan fokus untuk menjaringkan lebih daripada tiga gol. Mereka (pemain) perlu bangkit dan berusaha keras untuk menjaringkan gol,” katanya.

Pada masa sama, mengulas mengenai kekuatan pasukan lawan pada aksi pertama semalam, Nor Saiful menyifatkan kehadiran pakar pukulan sudut penalti negara, Firhan Ashaari yang meledak dua gol pada aksi itu menjadi kelebihan utama buat THT.

“Dari sudut lain (THT) pula mereka cuma tunggu untuk mendapatkan pukulan sudut penalti untuk menjaringkan gol…sebab mereka ada pakar (Firhan), kita pula tiada,” tambahnya.

Aksi kedua separuh akhir Piala TNB 2019 antara THT dan TNB akan berlangsung esok di Stadium Tun Razak sementara satu lagi aksi separuh akhir membabitkan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan Maybank turut akan berlangsung esok di venue sama. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN