mySalam tidak lindungi kepentingan rakyat - Utusan Malaysia

mySalam tidak lindungi kepentingan rakyat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU LANGAT 19 Feb.- Parti Sosialis Malaysia (PSM) menganggap Skim Perlindungan Nasional B40 (mySalam) yang dilancarkan kerajaan bulan lalu hanya melindungi kepentingan sebuah syarikat besar dan bukannya kepentingan rakyat.

Ahli Jawatankuasa Pusat PSM, Dr. Michael Jeyakumar mendakwa, pelaksanaan mySalam hanya dilihat membantu mengembangkan perniagaan serta meluaskan pasaran syarikat insurans yang terlibat.

“Kerajaan guna RM2 bilion yang disumbangkan oleh syarikat Great Estern ke dalam skim ini untuk membeli semula perlindungan insurans untuk golongan B40 dari syarikat yang sama, jadi syarikat tersebut dapat sumber perniagaan.

“Mereka juga dapat maklumat peribadi golongan golongan isu rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40) yang dilindungi tersebut, ini tentu menjadi sasaran syarikat berkenaan untuk memasarkan produk insurans tambahan,” katanya. 

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar pembongkaran skandal mySalam di Semenyih dekat sini hari ini. 

Yang hadir sama, calon PSM bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, Nik Aziz Afiq Abdul.

Sementara itu, jelas Jeyakumar, dengan sumbangan RM2 bilion kepada skim tersebut, syarikat Great Estern juga diberi pengecualian daripada melupuskan pegangan sebanyak 30 peratus kepada syarikat tempatan seperti yang ditetapkan Bank Negara Malaysia.

“Syarikat itu tak perlu beri 30 peratus saham kepada syarikat tempatan, dapat peluang perniagaan berjumlah RM2 bilion dalam tempoh lima tahun serta dapat maklumat peribadi individu yang dilindungi. Ini siapa beri kepada siapa, ini satu derma ataupun skandal, kita kena tanya kerajaan.

“Apa yang kerajaan buat ini hanya memudaratkan sistem kesihatan negara ini, hanya melindungi kepentingan satu syarikat besar tetapi bukan kepentingan rakyat. PRK Semenyih ini penting untuk undi tidak diberikan kepada Pakatan Harapan. Ia sebagai maklum balas rakyat kepada kerajaan bahawa sistem penjagaan kesihatan awam perlu diperkasakan,” katanya

Skim mySalam dilancarkan oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 24 Januari lalu bagi menyediakan perlindungan takaful kepada golongan B40 yang menerima Bantuan Sara Hidup.

Melaluinya, kerajaan membantu golongan B40 menangani kesulitan kewangan yang timbul akibat kemasukan ke wad hospital kerajaan atau ditimpa satu daripada 36 penyakit kritikal.

Skim itu melibatkan sumbangan permulaan sebanyak RM2 bilion daripada syarikat insurans dan takaful, Great Eastern.

Seramai 3.69 juta individu golongan B40 berumur antara 18 hingga 55 tahun yang merupakan penerima Bantuan Sara Hidup layak menikmati skim tersebut.

Kerajaan akan menggunakan sumbangan RM2 billion tersebut untuk membayar kadar premium insurans perlindungan sosial sebanyak RM112 untuk setiap individu di bawah skim itu.-UTUSAN ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN