Misi mencari rakyat susah di Semenyih bermula - Uncle Kentang - Utusan Malaysia

Misi mencari rakyat susah di Semenyih bermula – Uncle Kentang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU LANGAT 16 Feb.- Calon Bebas, Kuan Chee Heng atau dikenali Uncle Kentang mahu bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih semata-mata untuk mencari golongan yang memerlukan bantuan.

Katanya, dia tidak menetapkan sasaran menang atau kalah, sebaliknya meneruskan misi kemasyarakatannya.

Beliau memberitahu, setiap calon yang bertanding juga perlu berfikiran sepertinya dan itu akan memberi kemenangan kepada rakyat.

“Saya bukan hanya cari pengundi. Tetapi nak cari orang yang perlu dapat bantuan. Kalau boleh saya hendak bekerjasama dengan calon-calon lain.

“Saya nak panggil Jabatan Kebajikan Masyarakat, pusat zakat untuk bantu rakyat supaya selepas berkempen, rakyat tidak terpinggir,” katanya ketika ditemui selepas penamaan calon PRK DUN Semenyih di Dewan Seri Cempaka, Majlis Perbandaran Kajang, Saujana Impian dekat sini hari ini.

Tarikh hari ini penuh bermakna kepadanya kerana merupakan tarikh ulang tahun kelahirannya yang ke 56 tahun.

Beliau menambah, beliau menyasarkan untuk membantu sekurang-kurangnya 5,000 orang di Semenyih dalam kempen PRK kali ini.

“Minimum saya sasarkan dapat membantu 50 orang dan sasaran saya lebih 5,000 orang. Nanti, setiap undi yang saya bakal dapat adalah untuk memberi kesedaran kepada kerajaan bahawa masih ada golongan yang memerlukan bantuan,“ ujarnya.

Ditanya mengenai logo telefon yang digunakannya, beliau berkata, empat telefon yang dimilikinya kini adalah sebagai simbol dirinya yang dekat di hati masyarakat.

“Logo telefon ini juga sebagai sindiran kepada wakil-wakil rakyat lain yang sukar dihubungi dan sukar didekati rakyat,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN