Sebut sahaja kerjaya sebagai seorang pemain bola sepak, sudah semestinya ia memberi gambaran mengenai kerjaya berpendapatan lumayan iaitu dibayar mengikut kemahiran setiap pemain.
“Kunci utama untuk menjadi seorang pemain bola sepak yang baik adalah minat mendalam, pengetahuan dari segi taktikal dan teknikal supaya mampu memberikan aksi terbaik dalam setiap perlawanan,” itu antara kata-kata pemain bola sepak, Saiful Hasnol Mohd. Raffi, 26, ketika menceritakan mengenai kerjaya yang diceburinya sejak enam tahun lalu.
Pemain bola sepak popular dalam kalangan masyarakat kerana sudah semestinya sukan itu mempunyai peminat yang besar. Meskipun begitu, masih ada onak dan duri yang perlu dihadapi oleh mereka.
Menurut Saiful Hasnol atau lebih dikenali sebagai Anoy, dia mula bermain bola sepak sejak kecil dan terlibat dalam pelbagai kejuaraan bola sepak.
Katanya, dia pernah bermain untuk pasukan Selangor bawah 21 (Presiden Cub 2013), Liga IPT (UKM 2014), Liga Super (Sime Darby 2015), Liga Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) (UKM FC 2016), Liga FAM (Sime Darby 2017) dan Liga Perdana UKM FC (2017).
Malah, pasukannya turut memenangi beberapa perlawanan seperti juara Liga FAM (2017), naib johan Piala Cabaran (2018) dan gangsa bagi Asean University Game (2018).
Saiful Hasnol yang merupakan pemain posisi pertahanan untuk pasukan UKM FC,berkata, walaupun mempunyai minat yang mendalam dalam sukan bola sepak, dia yang bermain sejak berusia sembilan tahun tidak pernah mengabaikan pelajaran untuk berjaya.
“Pelajaran tetap nombor satu dan saya perlu seimbangkan antara akademik dan kerjaya sebagai pemain bola. Ini kerana saya sudah bermain sejak di bangku sekolah lagi.
“Pesanan ibu sentiasa menjadi pegangan saya. Kata ibu “bola…, bila-bila pun masih boleh main, namun pelajaran, susah untuk dapat peluang.” Itu antara kata-kata nasihat ibu ketika saya terpaksa menolak lamaran daripada PKNS semasa berusia 17 tahun,” katanya.
Mengulas lanjut, jejaka yang merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Kerja Sosial, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ini memberitahu bahawa kerjanya sebagai pemain bola sepak memerlukan dia menjalani latihan fizikal setiap hari.
“Saya menjalani latihan selama dua jam setiap hari iaitu pada waktu petang setiap hari Isnin hingga Sabtu. Hanya pada hari Ahad saya diberikan peluang untuk berehat,” katanya yang menitikberatkan soal kesihatan fizikal dan pemakanan untuk mengekalkan prestasi yang baik semasa perlawanan.
Dalam pada itu, Saiful Hasnol menceritakan antara cabaran terbesar yang dihadapi setiap pemain bola sepak adalah kecederaan yang dialami ketika bermain bola sepak.
“Ini kerana, sukan bola sepak adalah antara aktiviti lasak yang kadang kala boleh menyebabkan kecederaan otot seperti kecederaan lutut yang boleh menjejaskan prestasi pemain.
“Saya juga pernah mengalami kecederaan tersebut dan Alhamdulillah, saya sudah sembuh sepenuhnya. Malah, saya sudah boleh beraksi semula seperti sediakala,” katanya.
Saiful Hasnol kini melanjutkan pengajian ijazah sarjana dalam bidang pengurusan sukan di UKM.
Bergelar seorang pelajar ijazah sarjana bukanlah sesuatu yang mudah kerana perlu menyiapkan tesis dan menghadiri kelas di samping menjalani latihan untuk perlawanan bola.
Namun, perkara tersebut tidak menghalang jejaka ini terlibat dalam pasukan bola sepak UKM FC memandangkan dia mampu membahagikan masa untuk pelajaran dan bersukan.
Menurutnya, pada waktu petang dia akan menjalani latihan bola sepak sementara pada waktu malam dia akan menyiapkan tugasan yang diberikan oleh pensyarah.
“Saya pernah mendapat pelbagai tawaran menarik daripada pasukan bola sepak yang lain, namun terpaksa ditolak kerana ingin memberi tumpuan kepada pelajaran.
“Bagaimanapun, saya menerima tawaran pasukan UKM FC kerana mereka boleh bertolak ansur dengan jadual pengajian saya sebagai seorang pelajar ijazah sarjana,” katanya.
Anak muda ini sememangnya mempunyai minat yang mendalam terhadap bola sepak. Dalam pada itu, katanya dia turut menjadikan kerjaya ini untuk membantu meringankan beban kewangan ibunya yang merupakan ibu tunggal.
Menurutnya, pendapatan yang diperolehi daripada hasil bola sepak dapat digunakan untuk meringankan beban keluarga membiayai kos pengajiannya.
“Sebagai anak, saya ingin membalas jasa ibu dengan cara ini kerana ibu telah banyak memberikan sokongan dan galakan kepada saya untuk bermain bola sepak,” katanya.











