JOHOR BAHRU 15 Feb. – Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub mengakui gimik penyerahan surat daripada seorang pesawah Ibas Hamud mempengaruhi jiwanya sekali gus membuatkan beliau menangis.
Menjawab dakwaan tangisan beliau semasa membacakan warkah itu sebagai gimik, Salahuddin berkata setiap program mempunyai gimik tersendiri.
Menurutnya, sebagai seorang bekas petani dan merupakan orang kampung di Tanjung Piai, Pontian dekat sini, beliau tahu betapa susahnya hidup golongan tersebut.
“Itu sedikit sebanyak mempengaruhi jiwa saya dan kebetulan apabila Pakatan Harapan menang saya dilantik sebagai Menteri Pertanian. Ia memang gimik, gimik itu adalah idea kita bersama-sama.
“Tapi apabila ditayangkan, ia real. Bila real ia mempengaruhi emosi saya, Wak Ibas, wajah dia, ketuaan dia, dia naik motosikal, habis minyak tengah jalan, tumpang Hilux, sampai ke kementerian nak beri surat kepada saya.
“Itu adalah aspirasi,” katanya kepada pemberita dalam program SWM Kasih Misi Sampul Merah@Amitabha Malaysia di Taman Tasek di sini hari ini.
Salahuddin menegaskan, sebagai seorang lelaki, bukan mudah untuk beliau menangis, namun apabila diberi surat dan video ditayangkan, surat itu merupakan tulisan daripada kumpulan yang memang menanti untuk ditolong.









