Melaka bina Kapal Mendam Berahi jadi lokasi pelancongan - Utusan Malaysia

Melaka bina Kapal Mendam Berahi jadi lokasi pelancongan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA 6 Feb. – Kerajaan negeri akan membina semula kapal Mendam Berahi yang pernah menjadi kebanggaan pada zaman Kesultanan Melayu Melaka untuk dijadikan lokasi pelancongan baharu kepada pengunjung di negeri ini.

Kapal yang pernah digunakan Laksamana Hang Tuah untuk pengembaraan ke seluruh dunia itu bakal diwujudkan di satu lokasi di Klebang yang akan dinamakan Taman Tema Samudera.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Datuk Muhammad Jailani Khamis berkata, kertas kerja mengenai reka bentuk kapal tersebut telah disiapkan dan kerajaan negeri menerusi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bemban yang juga Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Dr. Wong Fort Pin akan mengetuai kunjungan ke Makasar, Indonesia dalam tempoh terdekat.

REKA bentuk kapal Mendam Berahi
REKA bentuk kapal Mendam Berahi 

“Tujuan kunjungan tersebut adalah bagi mengumpulkan maklumat dan usaha-usaha berkaitan pembinaan kapal supaya segala info yang tepat mengenai salah satu keagungan tamadun Melaka itu dapat dipamerkan dalam bentuk asli atau replika.

“Delegasi itu juga akan mengunjungi tujuh buah muzium di bawah Perbadanan Muzium Melaka (Perzim) yang berada luar negara seperti di Medan, Acheh, Jakarta, Palembang dan Pekanbaru bagi mendapatkan gambaran yang lebih tepat mengenai Mendam Berahi,” katanya.

Muhammad Jailani ditemui pada majlis perasmian Tarian Singa sempena sambutan Tahun Baharu Cina 2019 yang disempurnakan oleh Fort Pin mewakili Ketua Menteri di pekarangan Hotel Equatorial Melaka Banda Hilir di sini hari ini.

Sebelum ini pernah dilaporkan bahawa sepasukan pengkaji sejarah akan membina semula kapal Mendam Berahi yang suatu ketika dahulu digeruni armada musuh pada zaman Kesultanan Melayu Melaka

Kapal berkenaan menjadi lambang kehebatan dan kebijaksanaan masyarakat Melayu dahulu, malah teknologinya setanding kapal milik Portugis sebagaimana diceritakan dalam buku Hikayat Hang Tuah.

Menurut Muhammad Jailani, hasil kajian yang dilakukan oleh pengkaji mendapati, Mendam Berahi sepanjang 54.8 meter itu akan dicadangkan untuk dibina ruangan galeri bagi menambahkan info kepada pengunjung.

Katanya, dalam masa yang sama pihaknya dalam proses mencari individu yang berkemahiran dan pakar dalam pembuatan kapal bagi merealiasikan produk pelancongan berkenaan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN