Malindo Air mulakan penerbangan ke Langkawi, Kota Bharu - Utusan Malaysia

Malindo Air mulakan penerbangan ke Langkawi, Kota Bharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA 6 Feb. – Bemula 1 Mac ini, syarikat penerbangan premium, Malindo Air akan memperkenalkan dua laluan baharu menggunakan Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) Batu Berendam di sini iaitu ke Langkawi dan Kota Bharu, Kelantan.

MOHD. SOFI ABDUL WAHAB
MOHD. SOFI ABDUL WAHAB 

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kemudahan Awam negeri, Datuk Mohd. Sofi Abdul Wahab berkata, beliau telah dimaklumkan mengenai perkara itu oleh pihak pengurusan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) dan Malindo Air Melaka beberapa hari lalu.

Menurut beliau, menerusi persetujuan itu, Malindo Air akan mengadakan penerbangan sebanyak tiga kali seminggu di kedua-dua laluan baharu tersebut iaitu setiap Rabu, Jumaat dan Ahad.

“Laluan dari Kota Bharu ditetapkan pada pukul 11.55 pagi dan dijangka tiba di LTAM pada pukul 1.30 petang manakala penerbangan dari LTAM pula adalah pada pukul 1.50 petang dan tiba di Kota Bharu pada pukul 3.15 petang.

“Bagi laluan dari Langkawi pula bermula pukul 12.05 tengah hari dan tiba di LTAM pada pukul 1.45 petang manakala dari LTAM pula pada pukul 2.05 petang dan tiba di Langkawi pada pukul 3.45 petang,” katanya dalam sidang akhbar mengumumkan perkembangan terbaharu penerbangan di LTAM, di sini sebentar tadi.

Ketika ini, LTAM hanya menggunakan kira-kira empat peratus penggunaan lapangan terbang tersebut iaitu menerusi syarikat Malindo Air yang mengadakan penerbangan ke Pekanbaru, Indonesia dan Pulau Pinang.

Menurut Mohd. Sofi, kerajaan negeri mengalu-alukan langkah diambil oleh Malindo Air itu kerana ia bertepatan dengan program Tahun Melawat Melaka (TMM) 2019 yang sedang berlangsung ketika ini.

“Kita harap dua laluan baharu ini membantu menarik lebih ramai pelancong ke Melaka khususnya mereka yang datang ke Langkawi dan Kota Bharu untuk singgah ke Melaka.

“Untuk itu kerajaan negeri dengan bantuan portfolio Exco Pelancongan, Bahagian Promosi Pelancongan serta semua pemain sektor itu akan sentiasa berusaha mewujudkan sesuatu yang menarik mengenai Melaka supaya lebih ramai pelancong akan berkunjung ke negeri ini,” katanya.  – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN