Malaysia, Singapura telah berunding isu air sejak sebulan lalu - Utusan Malaysia

Malaysia, Singapura telah berunding isu air sejak sebulan lalu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG – Malaysia telah memulakan rundingan dengan Singapura bagi menyemak semula harga air mentah yang dijual kepada republik itu sejak sebulan yang lalu.

Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, Peguam Negara, Tommy Thomas juga telah bertemu dengan rakan sejawatnya di Singapura selain beberapa pertemuan lain akan diadakan berhubung isu berkenaan.

Beliau berkata, isu air adalah salah satu antara lapan isu yang dibawa dalam perbincangan dua hala berkenaan.

“Ada lapan isu yang dibawa dalam perbincangan dengan Singapura dan satu daripadanya berkaitan perjanjian air.

“Kejayaan memulakan rundingan dianggap penting kerana sebelum ini kita tidak dapat duduk semeja, namun sekarang kita sudah berjaya lakukannya (rundingan),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melakukan lawatan ke Pusat Bimbingan Alternatif Rohingnya Education Centre (REC) di Kampung Batu Belah, di sin hari ini.

Dalam pada itu, ketika ditanya sama ada republik tersebut memberi respon positif dalam perbincangan itu, Saifuddin berkata, masih terlalu awal untuk membuat rumusan mengenainya.

“Itu saya tidak boleh ulas lanjut, namun apa yang penting bagi kita adalah rundingan sudah bermula,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad memberitahu, Saifuddin akan mengetuai kumpulan pegawai Malaysia dalam semakan semula harga air mentah yang dijual kepada Singapura.

Tanpa mendedahkan butiran terperinci bila rundingan berkenaan itu akan dilakukan, Mahathir berkata, kumpulan pegawai yang berunding itu sedang mengusahakannya dan ia turut dianggotai pegawai berkaitan dari Johor.

Isu berkaitan perjanjian itu muncul kembali pada pertengahan tahun lepas apabila Mahathir mengkritik harga air mentah yang dijual kepada Singapura sebagai tidak masuk akal dan beliau bercadang untuk merundingkan semula terma perjanjian itu.

Mengikut Perjanjian Air 1962 yang dijangka tamat pada 2061, Singapura dibenarkan mengambil 250 juta gelen (946.3 juta liter) air dari Sungai Johor setiap hari pada harga 3 sen untuk setiap 1,000 gelen (3,785.4 liter).

Sebagai pulangan, Johor berhak menerima bekalan harian sehingga lima juta gelen (18.9 liter) air terawat, atau dua peratus daripada air yang dibekalkan kepada Singapura, pada harga 50 sen setiap 1,000 gelen (3,785.4 liter) – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN