PUTRAJAYA 13 Feb. – Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah telah menghubungi Timbalan Perdana Menteri Kemboja, Prak Sokhonn untuk menzahirkan hasrat Malaysia agar kesemua 47 warganegara Malaysia yang kini ditahan di Banteay Meanchey, Kemboja dibebaskan dengan segera.
Saifuddin berkata, beliau juga mengambil kesempatan itu untuk menyampaikan penghargaan Kerajaan Malaysia ke atas kerjasama yang telah diberikan oleh Kerajaan Kemboja.
Menurutnya, ini terutama dalam membenarkan beberapa lawatan konsular daripada Kedutaan Besar Malaysia di Phnom Penh ke atas tahanan-tahanan tersebut.
“Saya secara peribadi telah menyampaikan rasa terima kasih kepada Timbalan Perdana Menteri Kemboja atas keperihatinan beliau dalam perkara ini. Saya juga memohon supaya pihak Kemboja dapat memberikan kerjasama dalam memastikan kebajikan rakyat Malaysia tersebut terpelihara.
“Saya telah menekankan bahawa Malaysia menghormati kedaulatan undang-undang Kemboja dan Kerajaan Malaysia sentiasa mengingatkan rakyatnya supaya mematuhi undang-undang tempatan di mana jua mereka berada.
Hari ini merupakan hari ke-64 tahanan rakyat Malaysia berada di penjara Wilayah Banteay Meanchey kerana disyaki terlibat dengan aktiviti perjudian dalam talian.
Jelas Saifuddin, Malaysia telah memohon pertimbangan bagi perkara itu dipercepatkan agar mereka terlibat dapat pulang ke pangkuan keluarga dengan kadar segera.
Dua orang pegawai kanan Kementerian Luar yang terdiri daripada Setiausaha Bahagian Konsular dan Ketua Bahagian Undang-Undang kementerian jelasnya, telah bertolak ke Banteay Meanchey hari ini untuk meneruskan perbincangan dengan pihak berkuasa Kemboja berhubung penahanan terbabit.
Dalam pada itu, tambahnya, Kuasa Usaha Sementara, Kedutaan Besar Malaysia di Phnom Penh, Ruzaimi Mohamad telah berada di Banteay Meanchey sejak 12 Februari lalu untuk memberikan bantuan konsular berterusan kepada warga negara Malaysia yang ditahan.
Ujarnya, lawatan konsular itu merupakan susulan kepada bantuan konsular yang diberikan oleh pegawai kedutaan besar pada 22 Januari lalu.
Menurutnya, Kedutaan Besar Malaysia juga telah memudahcara lawatan Ahli Parlimen Julau, Larry Sng Wei Shien bersama beberapa ahli keluarga tahanan untuk membuat lawatan ke Penjara Banteay Manchey hari ini.
“Atas inisiatif kedutaan, seorang doktor daripada pertubuhan bukan kerajaan Hospital Beyond Boundaries juga telah turut serta dalam lawatan ini untuk memastikan tahap kesihatan mereka berada di tahap yang baik.
“Kementerian Luar akan terus memantau perkembangan kes ini dengan rapi dan akan mengambil langkah yang sewajarnya dalam usaha mengembalikan mereka ke pangkuan keluarga di Malaysia,” katanya. – UTUSAN ONLINE











