Kumpulan peragut geng Mat Top tumpas - Utusan Malaysia

Kumpulan peragut geng Mat Top tumpas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Kelicikan sebuah kumpulan penjenayah yang aktif melakukan aktiviti samun dan ragut di sekitar ibu kota tidak berpanjangan selepas markas persembunyian mereka diserbu pihak polis pada 2 Februari lalu.

Kumpulan tersebut yang diketuai oleh seorang pemuda dikenali sebagai Mat Top dipercayai aktif melakukan jenayah ragut di sekitar kawasan Lembah Klang sejak tahun 2016 dan dianggarkan mampu mengaut keuntungan mencecah RM10,000 sehari.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, serbuan tersebut dilakukan susulan daripada penahanan salah seorang ahli kumpulan berkenaan oleh anggota dari Balai Polis Dang Wangi kerana terlibat dalam satu kegiatan ragut.

“Suspek pertama berusia 22 tahun itu ditahan sekitar pukul 10.30 malam pada 28 Januari lalu di hadapan sebuah bank di Jalan Raja Chulan di sini oleh anggota polis yang sedang melakukan rondaan cegah jenayah.

“Hasil soal siasat yang dilakukan kemudiannya membawa kepada pembongkaran sebuah sindiket jenayah ragut yang dianggotai oleh sekumpulan lelaki tempatan berusia di antara 21 hingga 35 tahun,” katanya pada satu sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di sini hari ini.

Menurut Mazlan, bertindak atas maklumat tersebut satu serbuan telah dilakukan oleh sepasukan pegawai dan anggota polis dari Cawangan D9, Bahagian Siasatan Jenayah IPD Dang Wangi ke atas sebuah rumah di Kampung Simpang Tiga, Gombak, sekitar pukul 12.20 tengahari pada 2 Februari lalu.

“Hasil serbuan tersebut, kami telah menahan 10 lagi lelaki tempatan yang dipercayai merupakan rakan subahat kepada suspek pertama termasuk ketua kumpulan berkenaan yang dikenali sebagai Mat Top berusia 27 tahun.

“Turut dirampas dalam serbuan tersebut adalah sebanyak 18 unit telefon bimbit pelbagai model, 16 buah motosikal pelbagai model termasuk sebuah motosikal berkuasa tinggi jenis Ducati Hypermotard 821 serta dua buah kereta jenis Mercedes Benz AMG A45 dan Honda Jazz, yang kesemuanya bernilai lebih kurang RM500,000,” ujar beliau.

Jelas Mazlan, modus operandi kumpulan berkenaan adalah bergerak secara bertiga sambil menaiki motosikal untuk melakukan kegiatan ragut di sekitar Lembah Klang dengan menyasarkan pejalan kaki yang dilihat memakai barang kemas.

“Selain didapati mempunyai ‘jadual bertugas’, kesemua suspek yang ditahan juga didapati tidak mempunyai sebarang pekerjaan dan menjadikan kegiatan ragut ini sebagai kerjaya tetap mereka.

“Kesemua peragut ini akan dibayar oleh Mat Top mengikut hasil ragut yang berjaya mereka bawa pulang,” jelasnya.

Tambah beliau, Mat Top hidup dalam kemewahan hasil daripada kegiatan jenayah ragut yang dilakukan oleh kumpulan berkenaan dan menyembunyikan kegiatannya itu dengan berselindung disebalik sebuah syarikat pembekal ikan patin.

“Kes kini disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan dan tindakan diambil di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959,” tegas beliau. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN