PUTRAJAYA – Kementerian Pengangkutan sudah mengeluarkan Notis Kepada Juruterbang (NOTAM) bagi semua syarikat penerbangan di negara ini supaya mengelak menggunakan ruang udara Pakistan susulan penutupannya semalam.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, itu adalah Prosedur Operasi Standard (SOP) yang diamalkan selepas berlakunya tragedi MH17.
“Apabila ada kawasan yang berlaku konflik, memang pesawat kita akan mengelak menggunakan laluan tersebut.
“Saya difahamkan NOTAM sudah dikeluarkan dan memang perlu untuk semua pesawat kita mengelakkan ruang udara terbabit untuk keselamatan penumpang. Sudah tentu semua syarikat penerbangan kita akan mematuhi notis yang dikeluarkan itu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Modul Pendidikan Keselamatan Jalan Raya (PKJR) Semakan Sekolah Rendah peringkat kebangsaan di Pusat Konvesyen Antarabangsa Putrajaya di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik.
Sementara itu, Maszlee berkata, pihaknya sedang bekerjasama dengan Kementerian Luar untuk mendapatkan perkembangan lanjut berhubung situasi pelajar Malaysia di Pakistan dan India berikutan keadaan semasa yang semakin meruncing antara kedua-dua negara terbabit
“Kita masih cuba mendapatkan maklumat lanjut berhubung situasi di sana. Kementerian Pendidikan sedang menunggu perkembangan terkini melalui pejabat Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di New Delhi dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Islamabad,” katanya. – K! ONLINE










