Kebakaran feri bermula dari bilik enjin - KP Bomba - Utusan Malaysia

Kebakaran feri bermula dari bilik enjin – KP Bomba

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 28 Feb. – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengesahkan kebakaran feri penumpang di perairan Langkawi, Kedah Isnin lalu bermula dari bilik enjin berikutan kawasan berkenaan yang paling teruk terjejas.

Ketua Pengarahnya, Datuk Mohammad Hamdan Wahid berkata, pihaknya telah mula menjalankan siasatan berasaskan kaedah saintifik dan forensik bagi mengenal pasti punca kebakaran feri yang membabitkan 52 penumpang itu.

“Kita telah hantar penyiasat kebakaran dari ibu pejabat di Putrajaya bagi membantu JBPM Kedah dan siasatan dijangka siap dalam masa terdekat. Bagaimanapun kita sudah kenal pasti kebakaran bermula dari bilik enjin bahagian kiri feri tersebut.

“Tiada bukti lagi sama ada berlaku sabotaj dari pihak  tertentu namun tidak menolak kemungkinan tersebut,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Penganugerahan Pingat Kebesaran Jabatan dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang JBPM Kuala Lumpur di sini hari ini.

Dalam majlis tersebut, sebanyak 98 pegawai dan anggota bomba Kuala Lumpur menerima anugerah pingat dan berkenaan selepas penilaian dijalankan oleh JBPM negeri.

Isnin lalu, sebanyak 52 penumpang feri Dragon Star 1 berhadapan detik cemas selepas feri itu terbakar sebaik sahaja bertolak dari Terminal Feri Langkawi menuju ke Kuala Perlis pada pukul 2.45 petang.

Sebanyak enam bot yang berada di sekitar lokasi kejadian berjaya membantu semua mangsa ke terminal penumpang di Kuah manakala dua mangsa dibawa ke hospital untuk menerima rawatan.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN