LONDON 6 Feb. – James Milner menolak kritikan terhadap Liverpool selepas Reds keciciran mata dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL), sebaliknya penolong kapten itu mengakui gembira de-ngan situasi pasukannya yang kini berada di takhta liga.
Liverpool kini hanya berkelebihan tiga mata berbanding Manchester City selepas skuad kendalian Jurgen Klopp itu diikat 1-1 oleh West Ham, semalam.
Bagaimanapun, Milner mengingatkan semua pihak yang meragui kemampuan Li-verpool dan memberitahu, segala apa yang berlaku masih berada di bawah kawalan pasukannya.
“Risau apabila berada di puncak liga dalam bulan Februari? Tidak, saya gembira. Jelas sekali kami berada di takhta liga dalam bulan ini dan perjalanan masih jauh serta banyak perlawanan.
“Kami hanya perlu meneruskannya, jika seseorang berkata kami selesa dengan kelebihan tiga mata ketika ini, terpulang. Sewaktu permulaan musim, ada orang yang berkata City adalah pasukan terbaik pernah disaksikan dalam Liga Perdana, jadi berada hampir dengan mereka memang bagus untuk kami,” katanya.
Kritikan berkenaan membuatkan tekanan kian memuncak buat Liverpool untuk meraih kejuaraan liga pertama sejak 1990.
“Kami cuma perlu memberi tumpuan kepada permainan kami. Beraksi untuk peringkat kalah mati dan meneruskan kehidupan seperti biasa, tugas orang lain pula ialah memberikan tekanan. Kami perlu menikmati detik berada di kedudukan teratas dalam carta liga,” ujarnya yang bakal melayan kunjungan Bournemouth, Sabtu ini. – AGENSI










