HULU LANGAT 27 Feb.- Calon Barisan Nasional (BN), bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, Zakaria Hanafi hari ini membuat satu laporan polis berhubung kain-kain rentang berunsur provokasi yang didapati digantung sekitar Semenyih oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Menurut Zakaria, beliau menyedari terdapatnya kain-kain rentang yang turut mengaitkan dirinya, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor, ketika bersarapan di pekan Beranang, pagi tadi.
“Kami sedari banyak kain rentang di tepi jalan utama jadi di pihak saya ia melibatkan peribadi. Ini tidak benar.
“Ini provokasi menyerang peribadi saya, kenyataan ini bukan saya buat. Saya pegang prinsip kita berkempen secara bersih, ‘gentlemen’ lah kita amalkan kempen yang sihat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas membuat laporan polis di Balai Polis Semenyih di sini hari ini.
Tambah Zakaria lagi, kain-kain rentang yang antaranya memaparkan tulisan ‘Undilah BN jika ingin rompakan Rosmah berulang’ dan ‘Saya janji bawa Rosmah jika BN menang di Semenyih’ turut didapati digantung di Bandar Seri Putra, Batu Lima Bangi dan di Seri Jenaris, Kajang.
“Tujuan saya buat laporan polis supaya tindakan selanjutnya dapat dibuat oleh pihak berkuasa,” katanya.-UTUSAN ONLINE.










