KUALA LUMPUR 8 Feb. – Keadaan geopolitik antara kriteria yang perlu diberikan pertimbangan oleh setiap parti bertanding bagi menentukan calon mereka dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, 2 Mac nanti.
Penganalisis sosiopolitik, Universiti Malaya (UM), Prof. Madya Dr. Awang Azman Awang Pawi berkata, keadaan geopolitik Semenyih tentu sekali berbeza dengan Cameron Highlands dan faktor tersebut pasti penting dalam menentukan pola pengundian nanti.

“Pengundi di kawasan bandar ataupun berhampiran dengan bandar, mereka tidak kisah dengan isu calon tempatan atau tidak tetapi asalkan calon itu mempunyai reputasi yang baik. Di pedalaman mungkin isu calon tempatan itu penting tetapi tidak di kawasan seperti Semenyih.
“Semenyih ini terlalu dekat bandar besar, akses politik pengundi juga lebih mudah dan kita boleh anggap kebanyakan daripada mereka merupakan pengundi yang berhijrah dari negeri dan kawasan-kawasan lain tetapi tinggal di situ. Budaya politik mereka lebih fleksibel dan tidak terlalu tunduk kepada politik kepartian dan lebih rasional dalam sesuatu isu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Semalam, Timbalan Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, UMNO akan terus mengguna pakai formula Cameron Highlands dalam penentuan siapa calon parti itu bagi PRK Semenyih.
Ujarnya, aspek anak tempatan, bebas masalah serta diterima baik pengundi adalah kriteria utama akan digunakan bagi memuktamadkan siapakah calon berkenaan dan proses saringan masih berjalan buat masa ini.










