PASIR MAS 6 Feb. – Tiga maut manakala seorang lagi cedera parah selepas kenderaan dinaiki mereka bertembung dalam kemalangan di Jalan Tanah Merah-Pasir Mas berhampiran Kampung Bukit Tuku, di sini hari ini.
Identiti kesemua mangsa yang terlibat dalam kejadian sekitar pukul 1 petang itu sedang dikenal pasti.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Abdullah Mohammed Piah berkata, siasatan awal mendapati kemalangan itu membabitkan kereta jenis Perodua Myvi dan Proton Wira.
“Difahamkan kereta Proton Wira yang dipandu oleh seorang lelaki telah cuba memotong sebuah kenderaan lain ketika tiba di lokasi tersebut.
“Pemandu kereta itu gagal memotong, sebaliknya telah masuk ke laluan bertentangan dan kemudian bertembung dengan sebuah Perodua Myvi datang dari depan” katanya ketika dihubungi hari ini.
Abdullah memberitahu, akibatnya dua mangsa yang menaiki Perodua Myvi termasuk seorang kanak-kanak berusia 10 tahun telah meninggal dunia di tempat kejadian manakala seorang lagi parah sebelum disahkan meninggal ketika dirawat di hospital.
“Pemandu kereta Proton Wira juga dilaporkan sedang kritikal dan mendapat rawatan rapi,” ujarnya.
Abdullah berkata, kes tersebut disiasat bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN ONLINE











