FAMA galak mahasiswa sertai Agrobazar Online - Utusan Malaysia

FAMA galak mahasiswa sertai Agrobazar Online

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULIM 27 Feb. – Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menggalakkan para mahasiswa universiti supaya menceburi Agrobazar Online (ABO), iaitu platform aplikasi dalam talian yang disedakan agensi itu.

Pengerusinya, Ishak Ismail berkata, pada masa ini, pihaknya mempunyai seramai 4,815 orang pemasar yang membabitkan sebanyak 11,800 produk.

Katanya, jumlah jualan pula telah mencatatkan lebih RM4 juta sejak diperkenalkan pada 2016.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Oleh itu, FAMA meminta mahasiswa di institusi pengajian tinggi (IPT) segera mendapatkan maklumat terkini sekiranya ingin menjadi usahawan.

“Kita sedia memberi bimbingan dan tunjuk ajar kepada mahasiswa dengan kerjasama Telekom Malaysia (TM),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Program MyAgrosis New Breed Marketing Entrepreneur (NBME) Peringkat IPT Kedah di Politeknik Tunku Sultanah Bahiyah (PTSB) di sini, hari ini.

Yang turut hadir Pengarah Kanan Galakan Pemasaran Dalam Negara Bahagian Online, Mohamad Mustahapa Awang; Pengarah Kanan Agropreneur Muda Projek Khas, Sabri Naseh; Pengarah FAMA negeri, Anuar Mohamed dan Timbalan Pengarah Akademi PTSB, Mohd Zamre Ab. Rahman.

NBME adalah inisiatif FAMA dalam memberi peluang kepada graduan lepasan IPT untuk menceburkan diri dalam bidang keusahawanan industri asas tani melalui ABO.

Menerusi program ini, FAMA menjalin kerjasama dengan lima buah IPT apabila menandatangani Sijil Kerjasama (COC) bagi melahirkan usahawan baharu di peringkat lepasan IPT serta mengurangkan kebergantungan lepasan graduan terhadap kerjaya makan gaji

Ishak seterusnya berkata, seramai 20,916 orang mahasiswa daripada 112 IPT di seluruh negara sudah menjadi ahli Kelab Myagrosis di bawah seliaan FAMA sejak empat tahun lepas.

“Mereka yang berpotensi dan mematuhi setiap syarat dari FAMA pula boleh mendapat bantuan sehingga mencecah RM15,000, sama ada menjadi penjual atau ejen.

“Program diadakan itu adalah bagi mencungkil bakat keusahawanan dalam kalangan pelajar yang berminat menjadi peniaga berjaya pada masa hadapan,” katanya lagi.

Sementara itu, Mohd. Zamre berkata, pihaknya bersedia membantu membangunkan bidang keusahawanan dalam kalangan pelajar dengan seramai 350 orang pelajarnya telah menjadi ahli Kelab Myagrosis. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN