Empat penunggang motosikal cedera dirempuh ketika berteduh bawah jejantas - Utusan Malaysia

Empat penunggang motosikal cedera dirempuh ketika berteduh bawah jejantas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAIPING – Empat penunggang motosikal yang sedang berteduh di bawah jejantas kerana hujan mengalami kecederaan selepas mereka dilanggar sebuah kenderaan pacuan empat roda di Kilometer 204.4 Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan petang semalam.

Dalam kejadian yang berlaku kira-kira pukul 5.20 petang itu, seorang pelajar kolej, Umi Umairah Ahmad Salleh Hudin, 22, patah kaki dan peha manakala Siti Nur Atikah Yahaya, 22, pula parah di bahagian kepala.

Dua lagi penunggang motosikal, Muhd. Fitri Zaini, 19, dan Muhd. Akmal Abdull Somat, 20, masing-masing cedera di beberapa bahagian badan.

Pemangku Ketua Polis Daerah Taiping, Superintendan Razlam Ab. Hamid berkata, siasatan awal mendapati keempat-empat mangsa yang menunggang empat motosikal berbeza iaitu dua jenis Yamaha LC135, Yamaha Lagenda dan Honda Wave sedang berteduh di bawah jejantas kerana hujan.

kemalangan
Salah seorang mangsa, Umi Umairah mengalami patah kaki dan paha kanan dalam kemalangan tersebut.

 

“Sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dipandu seorang lelaki berusia 29 tahun itu secara tiba-tiba terbabas dan berpusing apabila tiba di tempat kejadian sebelum merempuh kesemua mangsa.

“Akibat rempuhan tersebut, keempat-empat mangsa mengalami kecederaan termasuk dua parah,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online sebentar tadi.

Tambah Razlam, kesemua mangsa dibawa ke Hospital Taiping untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN