Duda, janda aktif edar dadah sekitar Lubok Cina ditahan - Utusan Malaysia

Duda, janda aktif edar dadah sekitar Lubok Cina ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH 27 Feb. – Polis berjaya melumpuhkan kegiatan pengedaran dadah di sekitar Lubok Cina selepas menahan dua individu termasuk seorang janda di sebuah rumah di Kampung Ramuan Cina Kecil di sini, semalam. 

Ketua Polis Daerah, Superintenden A. Asmadi Abdul Aziz berkata, suspek lelaki berusia 53 tahun yang juga seorang duda serta suspek wanita berumur 34 tahun itu ditahan ketika serbuan kira-kira pukul 12 tengah malam. 

Menurutnya, serbuan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri itu menemukan satu peket lutsinar dadah jenis heroin seberat 382 gram dianggarkan bernilai RM5,500 di ruang tamu rumah berkenaan.

“Bekalan dadah berkenaan dipercayai belum sempat dibungkus semula kepada peket-peket kecil untuk diedarkan kepada penagih di Lubok Cina dan kawasan sekitarnya. 

“Ujian air kencing ke atas duda dan janda berkenaan didapati positif dadah jenis Methamphetamine dan siasatan lanjut mendapati suspek masing-masing mempunyai lima serta tiga orang anak yang ditinggalkan di tempat lain,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah, di sini hari ini. 

Menurut A. Asmadi, siasatan turut mendapati suspek lelaki itu terlibat dalam kegiatan mengedar dadah sejak 10 tahun lalu dan mempunyai tiga rekod jenayah lampau berkaitan dadah manakala suspek wanita memiliki satu rekod sama.

“Bagaimanapun, mereka mula aktif semula mengedar dadah untuk pasaran sekitar Lubok Cina sejak Oktober lalu,” ujarnya. 

Katanya, suspek kini direman tujuh hari sehingga 4 Mac depan dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN