Dua ekor lembu jantan 'membeli-belah' di pasar raya - Utusan Malaysia

Dua ekor lembu jantan ‘membeli-belah’ di pasar raya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG – Sebuah pasar raya diserbu dua ekor lembu jantan kira-kira 10 minit dalam kejadian di Taman Sentosa di sini, Jumaat lalu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11 pagi itu, lembu tersebut dipercayai memasuki pasar raya itu akibat kelaparan.

Seorang penduduk tempatan mahu dikenali sebagai Lin, 30, berkata, sewaktu kejadian dia sedang membeli barangan keperluan harian di pasar raya berkenaan.

Katanya, terdapat kira-kira lapan orang termasuk tiga pekerja di pasar raya itu ketika kejadian berlaku.

“Saya terkejut apabila secara tiba-tiba dua ekor lembu berkunjung ke pasar raya itu dengan seekor daripada memasuki ruangan dalam pasar raya berkenaan.

“Lembu itu dipercayai mencari makanan di bahagian kaunter sebelum para pelanggan dan pekerja memberikannya roti dan beredar dari pasar raya berkenaan,” katanya ketika ditemui Kosmo! Online di lokasi kejadian hari ini.

Jelasnya, ini adalah kejadian pertama kali seumpamanya berlaku di taman tersebut dengan lembu itu didapati dibiarkan berkeliaran oleh pemiliknya.

“Kebiasaanya lembu-lembu tersebut meragut rumput di tepi jalan namun Jumaat lalu haiwan itu ‘bershopping‘ pula di pasar raya itu. Namun, tiada individu yang cedera,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Komunikasi Korporat Majlis Perbandaran Klang (MPK), Norfiza Mahfiz menegaskan tindakan sita terhadap lembu-lembu boleh dilakukan dengan pemiliknya akan dikenakan kompaun.

“Membiarkan lembu berkeliaran di tempat awam adalah menjadi kesalahan kerana menganggu ketenteraman awam dan keselamatan jalan raya,” katanya.

Terdahulu, insiden tular di laman Facebook sejak video berdurasi 1 minit 30 saat itu dimuat naik semalam sehingga mendapat 40 perkongsian dalam kalangan pengguna laman sosial tersebut. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN