Ditahan kes bunuh 2001 - Utusan Malaysia

Ditahan kes bunuh 2001

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIT 26 Feb. – Polis menahan sepasang suami isteri warga Indonesia bagi membantu siasatan kes pembunuhan seorang lelaki yang mayatnya ditemukan di tapak projek pembinaan Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah, 18 tahun lalu.

Suspek dan isterinya yang masing-masing berusia 50 dan 49 tahun itu diberkas di hadapan sebuah rumah di Sungai Dusun, Hulu Se­langor, Selangor pada pukul 8.45 malam, semalam.

Ketua Polis Daerah Pe­rak Tengah, Superintenden Mohamad Zainal Abdullah berkata, kedua-dua suspek dibawa balik ke IPD di sini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Ke­seksaan.

Menurutnya, kedua-dua mereka direman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah selama tujuh hari bermula hari ini.

“Dalam kejadian pada 14 Ogos 2001 kira-kira pukul 5.45 pagi itu, mayat lelaki warga Indonesia, Rebin Sumadi Suwoko, 32, ditemukan dengan beberapa kesan tetakan senjata tajam di kanan leher, belakang pinggang dan kaki.

“Siasatan awal mendapati punca kejadian itu adalah disebabkan rasa curiga dan cemburu suspek terhadap seorang lelaki Indonesia lain yang disyaki menjalinkan hubungan sulit dengan isterinya yang ditinggalkan berniaga kantin di rumah kongsi di tapak pembinaan tersebut,” katanya di sini hari ini.

Mohamad Zainal memberitahu, suspek bersama dengan beberapa orang rakannya yang datang dari Kuala Lumpur telah pergi ke rumah wanita itu untuk mencari lelaki terbabit namun gagal.

Ujarnya, mangsa kemudian cuba menerangkan kedudukan lelaki yang dicari itu kepada suspek namun dia telah diserang oleh lelaki berkenaan.

“Mangsa dijumpai dalam keadaan terlentang dengan kesan tetakan senjata tajam di beberapa bahagian badan. Siasatan kes itu dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Habis

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN