SHAH ALAM – Seorang bekas Ahli Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 11 pertuduhan memberi rasuah dan menyalahguna kuasa berjumlah RM24,000 bagi penganjuran Ekspo, tiga tahun lalu.
Tertuduh, Mohamad Fauzi Ahmad, 49, membuat pengakuan tersebut selepas kesemua pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Rozilah Salleh.
Mohamad Fauzi yang merupakan bekas Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sungai Besar itu didakwa atas 10 pertuduhan memberikan suapan berjumlah RM24,000 kepada lima orang lelaki termasuk empat daripadanya merupakan ejen kerajaan bagi mengundi Ligat Bina Enterprise sebagai penganjur Ekspo Raya 2016 dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kawalan Perniagaan dan Kesihatan MDSB yang diadakan pada 13 Mei 2016.
Tertuduh yang ketika itu memegang jawatan Ahli MDSB melakukan perbuatan itu di CIMB Bank Cawangan Sungai Besar dan Rawang, Pejabat PKR Cabang Sungai Besar serta di sekitar Sekinchan dan Sabak Bernam bermula April 2016 hingga Mac 2017.
Mohamad Fauzi juga didakwa satu lagi pertuduhan menyalahguna kuasa sebagai Ahli MDSB bagi mendapatkan suapan apabila mengambil bahagian dalam mesyuarat Jawatankuasa Kawalan Perniagaan dan Kesihatan MDSB yang memutuskan memilih Ligat Bina Enterprise sebagai penganjur ekspo yang sama.
Kesalahan itu dilakukannya di MDSB pada 13 Mei 2016.
Justeru, dia didakwa bagi kesemua pertuduhan mengikut Seksyen 17 (b) dan Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta yang sama.
Jika sabit kesalahan, boleh dipenjara sehingga 20 tahun, denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi.
Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mohammad Suffian Ja’afar kemudiannya menawarkan jaminan sebanyak RM100,000 untuk 11 pertuduhan itu beserta seorang penjamin selain pasport perlu diserahkan kepada pihak mahkamah.
Peguam R. Tirukumaran kemudiannya memohon pengurangan jaminan kepada RM50,000 susulan anak guamnya itu hanya peniaga kecil-kecilan dengan pendapatan RM4,000 sebulan serta mempunyai dua anak yang peru ditanggungnya.
“Anak guam saya juga mempunyai penyakit tekanan darah tinggi,” katanya.
Mahkamah kemudiannya menetapkan jaminan RM60,000 bagi semua pertuduhan beserta penjamin dan pasport diserahkan kepada mahkamah.
Tarikh sebutan semula ditetapkan pada 27 Mac depan.
Akhbar Kosmo! difahamkan Mohamad Fauzi juga akan didakwa di mahkamah Ipoh pada bulan depan atas satu pertuduhan rasuah berkaitan hal yang sama. – K! ONLINE











