VILA VELHA, Brazil – Seorang jurugambar, Jana Brasil berkongsi beberapa gambar yang menunjukkan keadaan bayi yang dilahirkan dalam kantung air ketuban yang masih belum pecah menerusi media sosial baru-baru ini.
Brasil merakam kejadian aneh itu di Hospital Praia da Costa di sini ketika seorang ibu, Monyck Valasco, 34, menjalani pembedahan Caesarean untuk melahirkan anaknya, Noah tetapi mereka terkejut apabila mendapati kantung tersebut masih belum pecah.
“Saat itu sukar digambarkan. Saya pernah mengambil gambar beberapa bayi dalam kantung ketuban tahun lalu tetapi tiada yang sama seperti gambar kelahiran Noah, ia sungguh mengejutkan,” kata Brasil baru-baru ini.
Sementara itu, Valasco berkata: “Penduduk di seluruh dunia menghantar semula (menerusi media sosial) gambar Noah dan mencari kami. Saya menangis (apabila melihat Noah dilahirkan).”
Pakar Ginekologi, Dr. Rafael Angelo Baggieri yang menyambut Noah mendakwa hanya satu daripada kira-kira 100,000 bayi dilahirkan secara normal keluar dalam kantung air ketuban yang belum pecah tetapi fenomena itu tidak mengancam nyawa ibu mahupun bayi.
Baggieri bagaimanapun menegaskan kebarangkalian kejadian serupa dalam pembedahan Caesarean jauh lebih rendah kerana kantung itu biasanya ditembusi pisau yang digunakan doktor untuk memotong rahim ibu. – Agensi









