LONDON – Seorang bapa di sini mengakui dia masih berdepan kesukaran untuk membezakan anak kembarnya walaupun mereka kini sudah berumur tiga tahun.
Simon Hooper, 35, membuat pengakuan itu menerusi akaun Instagram Father of Daughters selepas isterinya, Clemmie menyarung pakaian sedondon untuk anak perempuan mereka, Ottie dan Delilah.
Menurut Simon, dia berasa keliru dan mengambil masa sekurang-kurangnya 15 minit untuk cuba mencari perbezaan pasangan kembar itu sehingga kerap tersalah panggil nama anak. Pasangan kembar itu pula memberikan reaksi bersahaja ketika nama mereka dipanggil.
“Saya sedang menimbang untuk mencukur kepala salah seorang daripada mereka. Keperluan untuk mengenal pasti anak sendiri adalah lebih penting,” katanya sebagai gurauan dalam akaun Instagramnya itu baru-baru ini.
Akaun Instagram Simon itu mempunyai seramai 919,000 pengikut dan dia kerap berkongsi gambar anak kembarnya itu. – Agensi








