PUTRAJAYA – Sebanyak 900,000 permohonan Bantuan Sara Hidup (BSH) 2019 telah diterima setakat hari ini sejak pendaftaran dan pengemaskiniannya dibuka 1 Februari lalu.
Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan berkata, jumlah itu merangkumi 200,000 permohonan baharu dan 700,000 permohonan kemas kini.
Menurut kenyataan itu, bagi memastikan program berkenaan berjalan dengan lancar, pihak kementerian telah memudahkan lagi proses pendaftaran BSH 2019 sepanjang tempoh permohonan sehingga 15 Mac depan.
Katanya, ia termasuklah borang permohonan BSH 2019 boleh diterima walaupun pemohon tidak
mengemukakan salinan dokumen pengenalan diri yang lengkap semasa penghantaran.
“Borang berkenaan akan diproses berdasarkan maklumat yang dilaporkan dalam Borang BSH yang dikemukakan oleh pemohon sahaja.
“Pemohon juga mempunyai pilihan untuk membuat permohonan secara dalam talian di mana muat naik dokumen bukan lagi syarat wajib,” katanya di sini hari ini.
Tambah kenyataan itu, bagi pemohon BSH warga emas berumur 60 tahun dan ke atas, mereka tidak perlu mengemaskini maklumat melainkan jika terdapat perubahan maklumat memandangkan LHDNM akan menggunakan data BSH 2018 untuk diproses.
“Bagaimanapun, maklumat permohonan yang diterima daripada pemohon akan dipadankan dengan data agensi seperti Jabatan Pendaftaran Negara bagi menentukan kelayakan setiap permohonan,” katanya.
Kenyataan itu berkata, pihak kementerian akan terus mengambil langkah proaktif dalam menangani masalah pemohon khususnya jika terdapat kesulitan dalam menyempurnakan permohonan untuk BSH 2019.
Jika terdapat sebarang pertanyaan lanjut, orang ramai boleh hubungi talian bebas tol 1-800-88-2747 atau e-mel kepada: [email protected].
BSH dijangka akan memanfaatkan lebih daripada 4 juta isi rumah dan melibatkan peruntukan RM5 bilion seperti yang diumumkan oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dalam ucapan Belanjawan 2019. – K! ONLINE










