ALOR SETAR 28 Feb. – Setiap tahun bermula Januari hingga bulan ini, golongan pesawah daerah ini akan melakukan pembakaran terbuka berskala besar di sawah mereka bagi membolehkan proses penanaman padi dilakukan semula.

Keadaan itu merupakan perkara biasa sepanjang jajaran kawasan yang mempunyai petak sawah selepas musim kedua menuai padi.
Setiap kali selepas musim menuai, golongan itu akan membakar petak sawah mereka bagi melupuskan jerami padi.
Pembakaran jerami itu merupakan satu proses biasa dan terkawal sebagai langkah untuk memastikan tanah sawah mereka kekal subur selain memastikan bakteria padi dihapuskan sepenuhnya.
Kaedah tradisional itu turut menghasilkan baja organik sekali gus dapat memulihara serta meningkatkan kesuburan tanah bagi proses penanaman semula padi.
Langkah itu dilakukan secara terkawal mengikut syarat-syarat ditetapkan pihak berkuasa termasuk saiz pembakaran tersebut demi kepentingan sektor pertanian padi negara. – UTUSAN ONLINE










